Diam-diam Aaron Aziz komited jayakan misi kebajikan - Utusan Malaysia

Diam-diam Aaron Aziz komited jayakan misi kebajikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kerja kebajikan bukan untuk ditunjuk, tapi untuk dikongsi.”

Itulah ungkapan yang sesuai untuk pengorbanan pelakon, Datuk Aaron Aziz yang dalam diam dirinya komited menjayakan misi kemanusiaan dan kebajikan biarpun dihimpit pelbagai persepsi.

Meskipun memiliki pencapaian yang cemerlang dalam dunia lakonan, Aaron atau Aaron Mustapha Aziz tidak pernah mengetepikan tanggungjawab sosialnya terhadap masyarakat bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Menurut perkongsian daripada Charitable Association of Cambodian Islamic Graduates (CACIG), hubungan kerjasama dengan Aaron yang bermula pada 2020 telah membawa impak besar kepada komuniti di Kemboja.

“Alhamdulillah, CACIG pernah bekerjasama dengan Aaron Aziz dalam program kebajikan sejak tahun 2020.

“Atas kerjasama dan bantuan beliau, kami dapat menyalurkan sumbangan daripada penderma Malaysia dan Singapura untuk membantu anak-anak yatim, fakir miskin dan nelayan di Kemboja,” ujar wakil CACIG dalam kenyataan di Facebook.

Hasil bantuan berterusan pelakon filem KL Gangster itu, CACIG berjaya melaksanakan pelbagai projek kebajikan termasuk pembinaan rumah wakaf, madrasah, penyediaan sampan, bekalan makanan dan sumber air minum untuk nelayan yang memerlukan.

“Kami ingin merakamkan jutaan terima kasih atas kerjasama dan bantuan daripada Aaron Aziz serta seluruh ahli keluarga, rakan-rakan dan semua penderma yang dermawan.

“Hanya Allah jua dapat membalas jasa baik kalian semua. Jazakumullah khairan,” katanya.

Selain kerja kebajikan di luar negara, bapa kepada tiga cahaya mata ini turut aktif membantu masyarakat di dalam negara, terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu pandemik COVID-19.

Aaron juga merupakan antara individu yang tampil menghulurkan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan, tanpa sebarang publisiti besar ketika ramai terjejas.

Difahamkan, Aaron juga aktif menghantar bantuan ke beberapa lokasi di negeri Sabah, Pahang, Perlis, Kedah, Johor dan Selangor termasuk bantuan kepada mangsa banjir.

Bukan itu sahaja, Aaron juga pernah terbabit dalam program Malaysia4Palestin yang dianjurkan pihak Astro pada tahun lalu.

Program ini adalah inisiatif untuk selebriti memberi sumbangan dari segi tenaga kerja selain sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN