“Kisah ini menyedihkan sebenarnya. Tapi saya cuba untuk tidak layan perasaan itu sebab nanti kita semua menangis.”
Demikian kata pelakon, Nor Albaniah Raffie saat mengimbau kemalangan ngeri yang meragut nyawa suaminya, Allahyarham Sudarman Daud, 31 tahun lalu.
Lebih menyayat hati, Allahyarham pergi di tarikh ulang tahunnya iaitu pada 10 Jun 1994.
“Malam itu kami merancang untuk keluar bagi meraikan hari lahirnya. Arwah pulang lambat malam itu, jadi saya membebel kerana kami kelewatan.
“Dalam perjalanan, saya kehairanan kerana arwah diam seribu bahasa, hanya tersenyum dalam terpaksa melayan saya yang masih membebel.
“Namun takdir Allah, tidak lama selepas itu kenderaan kami merempuh penghadang jalan dan berpusing beberapa kali sebelum terbabas.
“Insiden berlaku tidak jauh dari rumah kami di Kyoto Garden, sekitar Bukit Antarabangsa. Saya pengsan dan apabila sedarkan diri, saya sudah berada di hospital,” kongsinya.
Menurut Albaniah, dia mengalami cedera parah dan perlu menjalani pembedahan akibat kecederaan teruk di kepala, selain mengalami patah tulang tengkuk dan luka teruk bahagian tangan akibat terkena serpihan kaca.
Ketika itu, pihak hospital terpaksa merahsiakan kematian suaminya yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Saya sebenarnya berisiko meninggal dunia atau menjadi gila selepas pembedahan itu. Dan disebabkan itulah, pihak hospital terpaksa merahsiakan sementara kematian suami saya.
“Jadi ketika ditempatkan di wad selepas pembedahan, saya selalu bertanya mengenai suami dan meminta jururawat membawa ke tingkat dua hospital berkenaan di mana dikatakan dia berada di sana. Namun pelbagai alasan diberikan jururawat yang ketika itu masih merahsiakan hal sebenar.
“Saya hanya dimaklumkan doktor selepas tiga minggu Allahyarham meninggal dunia. Tapi saya segera menafikan keadaan sebenar dan percaya suami saya masih hidup.
“Selepas tiga bulan, barulah saya dapat terima yang suami saya sudah tiada. Tak dapat saya jelaskan emosi waktu itu, hanya linangan air mata sahajalah yang menjadi bayangan kesedihan saya,” ujarnya.
Kata Albaniah lagi, susulan kejadian pelbagai spekulasi bertebaran termasuklah laporan-laporan salah mengenai kemalangan tersebut yang terpampang di dada akhbar.
“Ada tuduhan kata arwah suami memandu dalam keadaan melebihi had laju. Tapi tanggapan itu salah.
“Muncul juga wartawan yang salah lapor mengenai kejadian itu, mendakwa saya yang memandu kereta ketika kemalangan itu berlaku.
“Disebabkan laporan berkenaan saya disiasat polis. Mujur saya dibantu rakan-rakan produksi yang menjadi saksi bahawa saya tidak pernah memandu kereta pada waktu itu,” ujarnya.
Nor Albaniah mengambil enam bulan untuk pulih sepenuhnya selepas kemalangan tersebut.
Katanya, fasa satu tahun selepas insiden itu adalah tempoh paling sukar dalam hidupnya.
“Sebenarnya, ramai yang tak tahu bahawa saya bertindak melarikan diri dari hospital selepas satu bulan menjalani pembedahan susulan kemalangan berkenaan.
“Saya maklumkan kepada adik beradik yang saya mahu pulang ke Perak atas banyak faktor antaranya tidak dapat menahan sakit apabila luka dicuci.
“Hanya mereka yang rapat tahu betapa teruknya keadaan saya dalam proses untuk sepenuhnya sembuh ketika di kampung. Dan bila sudah sihat, saya mula bekerja menjadi pegawai kontraktor selain menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk menyara keluarga,” jelasnya.

IMEJ SEKSI
Nor Albaniah menceburkan diri dalam dunia lakonan bermula pada 1989 dengan membuat kemunculan pertama menerusi filem Kolej 56.
Ketika itu dia yang berusia 19 tahun cukup terkenal dengan imej seksi dan berani.
“Dulu ramai artis wanita berimej seksi. Namun kami tidaklah berdepan kecaman masyarakat.
“Yang kurang senang itu ada, tapi mereka tidak bersikap kurang ajar. Kalau berjumpa, artis tetap dilayan baik, tak adalah dikecam.
“Saya akui memang saya antara artis yang berpakaian seksi, malah kerap menggayakan pakaian yang agak ‘berani’.
“Ada satu ketika saya pernah menolak secara baik untuk diambil gambar kerana terlalu kerap menjayakan sesi fotografi. Namun kemudiannya saya akur setelah dipujuk wartawan,” kongsinya.

RANO KARNO
Selepas memenangi tempat ke-4 dalam pertandingan ratu cantik Miss Malaysia All Nation 1991, Nor Albaniah dilamar artis negara seberang, Ratna Juwita untuk mencuba nasib di Indonesia.
Lebih istimewa lagi apabila Nor Albaniah turut ditawarkan untuk bergandingan dengan pelakon tersohor, Rano Karno dalam sebuah filem usaha sama dua negara.
“Rano Karno masa itu nama yang cukup popular bukan sahaja di Indonesia, malah Malaysia. Saya beruntung kerana menjadi antara pelakon wanita Malaysia yang berpeluang berlakon dengan beliau.
“Rano Karno ada tarikan sendiri. Beliau tidaklah kacak tetapi segak orangnya. Yang lucunya arwah suami saya, sebelum kami berkahiwn dulu selalu berpesan jangan terlalu lama tenung mata Rano Karno kerana takut terpaut hati.
“Tiga bulan saya ulang alik antara Malaysia dan Indonesia untuk menjalani penggambaran. Saya terkejut dengan layanan kelas pertama yang saya terima di sana, ibarat saya ini artis terkemuka, tinggal di hotel bertaraf 7 bintang dan ditemani empat pembantu sepanjang berada di Indonesia,” ceritanya.










