IPOH: Detik sedih kehilangan cahaya mata memberi kekuatan kepada seorang ibu untuk bangkit menjadi usahawan penyedia perkhidmatan penjagaan warga emas.
Norhidayah Roni, 33, menubuhkan perniagaan melalui syarikat NH Patient Care Services selepas berjaya menamatkan kursus asas penjagaan warga emas dari 10 hingga 14 Jun 2024.
Katanya, kursus itu merupakan anjuran Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak), Sunshine Qualicare dan Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) bagi menyediakan pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kepada warga Perak.
Kata Norhidayah, dia kemudian memulakan perniagaan sendiri dalam bidang penjagaan pesakit dan warga emas pada 5 September 2024.
“Saya mengambil kursus penjagaan warga emas atas dua sebab utama. Pertama, kerana ibu mertua saya menghidap demensia (hilang daya ingatan) dan memerlukan penjagaan rapi.
“Kedua, kerana pengalaman kehilangan anak saya sendiri. Kedua-dua pengalaman ini mendorong saya untuk lebih memahami aspek perubatan, rawatan dan penjagaan pesakit warga emas secara menyeluruh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kursus yang disertainya itu diusahakan oleh Pasak bagi memberi kemahiran baharu kepada rakyat negeri ini supaya mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan.
Usaha tersebut selari dengan Flagship Keempat dan Kelima pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Koridor TVET Malaysia serta Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang menjadi tumpuan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk memperkasakan rakyat negeri ini.
Sebelum menyertai kursus tersebut, beliau menjalankan perniagaan bakeri namun terjejas selain menghadapi dugaan apabila seorang daripada anaknya meninggal dunia.
Norhidayah ibu kepada empat orang anak berusia antara dua bulan hingga 13 tahun, berkata dirinya secara berterusan mengikuti beberapa kursus peningkatan kemahiran bagi memastikan mutu perkhidmatan sentiasa bertambah baik dan syarikatnya kini terdiri daripada 50 staf terlatih.
Jelasnya, kaedah penjagaan diberikan melalui perkhidmatan ke rumah atau lokasi lain yang diminta pelanggan seperti hospital atau tempat rawatan fisioterapi.
“Kami telah memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 15 orang pelanggan, termasuk dalam kalangan kerabat diraja (orang kenamaan). Alhamdulillah, sambutan semakin menggalakkan dan jumlah pelanggan terus bertambah dari semasa ke semasa.
“Dugaan yang bertimpa-timpa membuat saya bangkit dan memulakan perjuangan baharu untuk diri sendiri. Arwah anak saya menjadi kekuatan utama saya untuk terus melangkah,” katanya. – UTUSAN