Dadah RM13 juta dalam plastik durian kering dirampas - Utusan Malaysia

Dadah RM13 juta dalam plastik durian kering dirampas

NOOR Hisam Nordin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam sebuah MPV yang ditinggalkan dua lelaki di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Slim River, Isnin lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menemui dadah bernilai RM13 juta yang disembunyikan dalam bungkusan plastik bertulis ‘dried durian’ selepas mengejar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sejauh lebih dua kilometer di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Slim River, Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam kejadian pada pukul 1.30 petang itu, Pasukan Peronda Lebuhraya (EMPV) Sektor 8, Zon Utara 4 telah mengarahkan sebuah MPV jenis Honda Stream untuk berhenti di Kilometer 375 arah selatan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, suspek bagaimanapun cuba melarikan diri dengan memecut laju kenderaan sebelum berhenti dan melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemui 15 guni hitam mengandungi dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 374 kilogram (kg) dan satu bungkusan plastik hitam mengandungi 11.28kg dadah jenis heroin base.

“Nilai pasaran dadah itu dianggarkan berjumlah RM12,945,603 dan boleh digunakan oleh 3,747,520 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut Noor Hisam, kesemua dadah itu dibungkus menggunakan bungkusan plastik bertulis ‘dried durian’ yang dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, siasatan awal mendapati dadah tersebut dipercayai dibawa dari negeri di utara menuju ke selatan untuk diedarkan di pasaran Lembah Klang.

“Semakan terhadap nombor pendaftaran MPV itu mendapati kenderaan tersebut bukan kereta curi sebaliknya didaftarkan atas nama seorang wanita.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti hubungan wanita itu dengan pemandu dan penumpang hadapan kenderaan itu. Kita akan memanggil pemilik yang didaftarkan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau setakat ini, kedua-dua suspek yang melarikan diri masuk ke dalam hutan masih belum ditemui dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan mereka.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN