BUKIT MERTAJAM : Gara-gara mencuri wang sebanyak RM400, seorang lelaki warga Iran menerima padah apabila didenda sebanyak RM1,500 selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Hossein Yazdanjoo, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Nurul Rasyidah turut memerintahkan supaya tertuduh dipenjara sehingga enam bulan jika gagal bayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, Hossein dituduh mencuri wang milik seorang lelaki tempatan, Kang Soo Huat di hadapan rumah mangsa di Kampung Cross Street, di sini, jam 6.30 petang pada 26 September lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syakila Dahari manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian, mangsa dihampiri oleh sebuah kereta jenis Honda City sebelum pemandunya turun untuk bertanya sama ada mangsa mahu menukar wang atau tidak.
Suspek bagaimanapun bertindak merampas wang tunai sebanyak RM400 daripada mangsa sebelum melarikan diri, namun, berjaya dikesan oleh pihak polis tidak lama selepas itu.-UTUSAN