TANJUNG MALIM: Cuaca berkabus menghalang usaha membawa turun Allahyarham Mustaqqem Mansoor, 34, yang meninggal dunia di puncak Gunung Liang di sini dengan menggunakan helikopter bomba.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Muhamad berkata, sehingga kini, mayat mangsa masih belum dibawa keluar kerana cuaca masih berkabus.
Dalam pada itu, katanya, dua lelaki yang juga malim gunung masing-masing berumur 50 dan 41 tahun telah ditahan oleh Jabatan Perhutanan mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan 1984 kerana memasuki hutan simpan tanpa kebenaran yang sah dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Ujarnya, mayat mangsa akan dibawa ke Hospital Slim River selepas berjaya dibawa turun untuk urusan selanjutnya.
Semalam media melaporkan, seorang lelaki yang hilang semasa melakukan aktiviti mendaki bersama 10 rakannya di Gunung Liang di sini ditemukan meninggal dunia di puncak gunung itu. – UTUSAN










