GEORGE TOWN : Jalan Tun Sardon yang sepatutnya dibuka semula kira-kira pukul 6 petang ini selepas insiden tanah runtuh kelmarin bagaimanapun mungkin dilanjutkan penutupannya.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, hal ini demikian kerana, terdapat enam runtuhan cerun baharu yang direkodkan hari ini iaitu antara tempoh awal pagi hari ini hingga 12 tengah hari tadi.
Beliau berkata, ketika ini, pasukan teknikal dari Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarah untuk turun ke tapak lokasi bagi tujuan siasatan lanjut.
“Untuk pengetahuan, kerja-kerja pembersihan yang dimulakan sejak semalam juga telah dihentikan buat seketika waktu ekoran hujan lebat yang masih berterusan (ketika ini).
“Justeru, atas faktor keselamatan, Jalan P14 (Jalan Tun Sardon) yang dijadual dibuka semula pada pukul 6 petang ini akan dilanjutkan ke suatu masa yang akan dimaklumkan kelak. Mohon semua pengguna jalan raya merancang perjalanan anda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
JKR negeri sebelum ini memaklumkan, penutupan jalan itu terpaksa dibuat bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan jalan dan lain-lain kerja berkaitan oleh kontraktor yang terlibat susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di situ.-UTUSAN










