YAN: Polis menahan dua lelaki tempatan dan empat lelaki Bangladesh bagi membantu siasatan kes seorang buruh binaan ditemui mati dengan kesan jerut di leher di sebuah rumah di Kampung Jalan Yan, Teroi Guar Cempedak tengahari semalam.
Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Mohammad Harmizi Abdullah berkata, kesemua suspek berumur 29 hingga 44 tahun ditahan selepas salah seorang daripada mereka membuat laporan polis.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua suspek dan simati merupakan pekerja binaan dan tinggal bersama di rumah yang mempunyai tiga bilik itu.
“Pergaduhan bermula pada pukul 1 tengah hari apabila salah seorang lelaki tempatan menegur mangsa yang lewat bersiap untuk ke tempat kerja mereka di Bukit Jenun.
“Berang dengan teguran itu, mangsa kemudian bertindak mengambil sebilah pisau dan melibas ke arah rakan sekerjanya yang ketika itu turut memegang sebatang besi,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Mohamad Harmizi, dalam masa sama lelaki tempatan itu kemudian mencapai wayar kabel dan bertindak menjerut mangsa.
“Semasa pergelutan itu lelaki tempatan berkenaan mendapati mangsa telah tidak sedarkan diri sebelum bergegas membuat laporan polis.
“Perintah reman terhadap semua suspek akan di mohon di Mahkamah Sungai Petani esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN










