PETALING JAYA: Pelakon, Uqasha Senrose mengakui berat badannya semakin susut akibat keletihan menguruskan kerjaya dan menjaga anak sulungnya, Hawra Uqaira.
Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, turut memberi bayangan keputusan untuk kembali aktif dalam dunia lakonan bukanlah atas kehendaknya sendiri, sebaliknya atas permintaan suaminya yang juga pelakon Kamal Adli.
“Saya kurus sebab kerja, dan saya kerja bukan sebab saya nak kerja. Dia (Kamal) yang minta saya buat ‘comeback’ sedangkan anak masih kecil.
“Dia pun sedang sibuk menjalani penggambaran drama. Jadi, sebagai ibu, saya yang ambil tanggungjawab jaga anak sebab cara lelaki dan perempuan jaga anak berbeza,” katanya dalam siaran langsung di TikTok.
Jelasnya, perkongsiannya itu bukan bertujuan mengadu sebaliknya berkongsi apa yang dilaluinya sebagai seorang ibu.
“Saya cuma mahu berkongsi bagaimana saya lalui saat ini. ‘Burnout’ itu memang ada, tapi saya tetap kuat sebab anak saya,” ceritanya.
Mengulas lanjut, Uqasha mengakui berasa berat hati setiap kali terpaksa meninggalkan anak demi komitmen kerja. Malah, beliau tidak mahu terlalu membebankan ibunya yang sudah berusia.
“Ini anak pertama saya, jadi perasaannya sangat berbeza. Setiap kali nak keluar rumah, saya rasa tak tenang.
“Takkan hari-hari nak tinggalkan anak dengan mak saya. Kami yang muda pun cepat penat, inikan pula ibu yang sudah tua dan pernah besarkan tujuh orang anak. Sebab itu saya cari pembantu untuk bantu mak,” jelasnya.
Dalam pada itu, Uqasha sempat menzahirkan penghargaan kepada adiknya, pelakon Nelydia Senrose dan suami, Hafez Halimi yang banyak membantu menguruskan anaknya ketika beliau sibuk dengan urusan kerja.
“Terima kasih kepada Nelly dan suaminya. Mereka sangat ambil berat tentang anak saya. Kadang-kadang bila saya terlalu sibuk, Nelly yang bawa Uqaira sarapan atau buat aktiviti bersama. Saya sangat hargai keprihatinan mereka,” tambahnya.
Terdahulu, rumah tangga Uqasha dan Kamal kembali menjadi tumpuan selepas pasangan itu dilihat tidak lagi saling mengikuti di media sosial.
Ini bukan kali pertama perkahwinan mereka menjadi perhatian netizen. Sebelum ini, timbul spekulasi kononnya Uqasha hadir ke mahkamah syariah bagi memfailkan penceraian, namun perkara itu dinafikan kedua-dua pihak.
Untuk rekod, pasangan selebriti itu mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira. -UTUSAN