BN Perak setuju kerjasama dengan PH PRU16 - Kor Ming - Utusan Malaysia

BN Perak setuju kerjasama dengan PH PRU16 – Kor Ming

ANTHONY Loke Siew Fook (tengah) bersama pemimpin DAP Perak pada Konvensyen DAP Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak bersetuju bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kata Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Kor Ming berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh Bendahari UMNO Perak, Datuk Sham Mat Sahat.

“Saya dimaklumkan berita baik oleh sahabat lama saya, Datuk Sham yang juga Penasihat (Pegawai Khas) Menteri Besar di mana Jawatankuasa Perhubungan UMNO Perak bahawa UMNO negeri sebulat suara mencapai kata sepakat di mana BN akan bekerjasama dengan PH pada PRU 16.

“Kita harap apabila BN bergabung dengan PH di Perak, kita bukan sahaja mampu mentadbir tapi akan menang majoriti dua pertiga pada penggal akan datang.

“Sebab itu jentera DAP wajib bekerja sebagai satu pasukan untuk pastikan bukan sahaja calon PH menang tapi pastikan calon BN juga akan menang pada PRU16,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Perak di sini hari ini.

Konvensyen dirasmikan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

PRU15 menyaksikan Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi terbanyak dengan 26 kerusi manakala PH 24 kerusi dan sembilan kerusi dimenangi BN.

PH dan BN Perak membentuk kerajaan negeri selepas PRU15 disusuli pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

Sementara itu, Kor Ming berkata, kerajaan Perak mencatat lebihan Belanjawan negeri tiga tahun berturut-turut membuktikan parti itu tahu bagaimana untuk mentadbir.

Menurutnya, ini berbeza dengan negeri-negeri yang diperintah pembangkang yang hanya bermain sentimen tetapi gagal dalam membangunkan ekonomi negeri.

Katanya, sehubungan itu adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat memastikan pembangkang tidak mendapat tempat di Perak pada PRU16.

“Kita akan pastikan gelombang hijau (Pembangkang) tidak lagi subur di negeri Perak, kita pastikan gelombang hijau itu dihapuskan di Perak selama-lamanya.

“Kita hendak gelombang rakyat menang semula kerusi Parlimen di kawasan Kerian, di Perak Utara, di (DUN) Alor Pongsu di mana calon Kerajan Perpaduan kita akan menang besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN