BIPP, PULO tolak Sommak Rungsita ketuai rundingan Selatan Thai

BIPP, PULO tolak Sommak Rungsita ketuai rundingan Selatan Thai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT: Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP) dan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) menolak pelantikan Je­neral Sommak Rungsita Ketua Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand sekali gus me­ngetuai rundingan damai di Selatan Thailand.

Kedua-dua badan itu melihat pelantikan jeneral tersebut sekadar permainan politik kerajaan pimpinan Anutin Charnvirakul untuk meraih undi pada pilihan raya umum akan datang.

Pegawai Kanan BIPP, Abu Hafez Al-Hakim berkata, selagi proses damai tidak menjadi agenda nasional kerajaan, pergolakan di Selatan Thailand sukar menemukan noktah.

“Sommak ini jeneral tentera, maka pendekatannya sudah tentu ke arah ala-ala tentera. Jadi kurang sesuai untuk seorang pegawai tentera menge­tuai panel dialog damai sekali gus merungkai konflik politik.

“Sejujurnya kami mengalu-alukan keputusan itu, namun tidak dapat dipastikan kerajaan pentadbiran Anutin Charnvirakul bertahan berapa lama. Ini kerana pentadbiran Anutin sekarang ini hanya berbaki empat bulan, sedangkan proses rundingan itu bakal mengambil masa yang lama,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abu Hafez yang juga juru­cakap Majlis Syura Patani (MARA Patani) berkata, selama ini semua ketua panel perun­ding kerajaan Thailand terdiri daripada kalangan tentera dan matlamat mereka hanya satu iaitu mengurangkan keganasan.

“Itu keutamaan mereka. Walaupun ada disebut penyelesaian politik, tetapi sejauh ini tidak dibangkitkan langsung di meja dialog,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden PULO, Kasturi Mahkota melihat pelantikan itu sekadar mainan politik untuk meraih undi pilihan raya.

KASTURI MAHKOTA

“Bagi saya, siapa yang dilantik tidak begitu penting kerana itu adalah hak mereka yang menentukan. Yang penting adalah apa yang mereka akan bawa ke meja rundingan itu. Dengan erti kata lain, apakah polisi atau dasar mereka terhadap proses rundingan damai itu sendiri? Jadi pelantikan ini adalah untuk meraih undi pemilihan empat bulan nanti,” katanya.

Kasturi berkata, rundingan adalah antara jalan yang berkesan untuk menyelesaikan sesuatu konflik dan PULO bersedia memberi kerjasama sekiranya dijemput.

Akhbar ini melaporkan, pro­ses rundingan damai Selatan Thai disambung semula tidak lama lagi setelah kerajaan Anutin bersetuju melantik Sommak Rungsita sebagai Ketua Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand.

Jurucakap Pusat Operasi Ke­selamatan Dalam Negeri Wi­layah 4 (ISOC 4) berkata, pelantikan yang dibuat pada Khamis lalu itu bagi menggantikan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara (NSC) Chatchai Bangchuad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN