KUALA LUMPUR: Penyanyi, Misha Omar, 43, enggan mengambil jalan mudah dengan menggunakan produk atau kaedah tertentu untuk menurunkan berat.
Kata penyanyi yang dikenali dengan lagu Bunga-Bunga Cinta itu, dia lebih memilih bersenam atau mengawal pemakanan untuk mendapatkan berat badan ideal.
“Sebenarnya ada rakan yang mencadangkan guna kaedah-kaedah tertentu.
“Tapi, apabila ditanya kepada suami, katanya jangan kerana bimbang kesan sampingan.
“Memanglah, siapa tak mahu ramping dengan jalan pintas?
“Tapi saya tidak berani mencuba kaedah-kaedah ini,” katanya yang ditemui pada sesi bersama media menjelang konsert Dia Misha Omar, baru-baru ini.
Misha memaklumkan lebih yakin dengan senaman dan jaga pemakanan untuk mendapatkan berat badan diinginkannya.
“Dengan menjaga pemakanan, rendahkan kalori dan bersenam, saya yakin dapat turunkan berat badan. Tiada jalan pintas.
“Apa pun saya selesa dengan berat badan sekarang, tidaklah sukar untuk mencari pakaian yang sesuai.
“Konsert saya pun berbaki lebih empat minggu sahaja lagi, harapnbya dengan senaman dan jaga pemakanan, sempatlah untuk turunkan sedikit berat badan sebelum 29 November ini,” kongsinya.










