KUALA LUMPUR: Pelakon, Umie Aida, memilih untuk tidak hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyambut kepulangan rakan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), sebaliknya meraikan mereka menerusi penganjuran majlis ilmu.
Menurut Umie atau Umi Khalsum Rahmad Ali, 51, beliau merasakan detik di KLIA adalah momen penting antara mereka dan ahli keluarga.
“Kalau mereka tiba di KLIA, biarlah keluarga yang menyambut. Pada saya, momen itu lebih bermakna untuk mereka.
“Selepas dua hari, barulah kami, rakan-rakan akan meraikan kepulangan mereka menerusi satu majlis ilmu yang khusus.
“Saya mengenali mereka melalui majlis ilmu, dan sebab itu juga saya mahu sambut mereka dengan cara yang sama. Saya tahu, itulah kebahagiaan sebenar mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, Umie yang juga rakan usrah kepada beberapa aktivis seperti Heliza Helmi, Hazwani Helmi, PU Rahmat dan Zizi Kirana, turut meluahkan rasa bimbang dan gelisah sepanjang misi GSF berlangsung.
“Saya memang tak boleh tidur mengenangkan keselamatan mereka kerana kita tahu rejim Zionis tidak pernah mengenal belas kasihan.
“Mereka melayan para aktivis ini seperti penjenayah, sedangkan hakikatnya yang membawa senjata dan menindas adalah mereka sendiri. Aktivis kita langsung tidak bersenjata, mereka hanya membawa bantuan makanan,” jelasnya.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus mendoakan kekuatan mental dan fizikal bukan sahaja kepada aktivis GSF, tetapi semua sukarelawan yang berada di lapangan demi memperjuangkan kebebasan Palestin.
“Doa kita jangan putus. Semoga mereka semua terus diberi kekuatan sehingga Palestin benar-benar bebas,” tambahnya.
Terdahulu, seramai 23 sukarelawan misi kemanusiaan GSF dilaporkan selamat dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis dan telah diterbangkan ke Istanbul, Turkiye menggunakan pesawat khas.
Kesemua mereka kini berada di Istanbul bagi menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dijangka pulang ke tanah air dalam masa terdekat. -UTUSAN