MELAKA: Suasana sambutan Deepavali sebuah keluarga di Kampung Tujuh, Gajah Berang (Kampung Chetti) di sini bertukar cemas apabila lantai beranda rumah mereka tiba-tiba runtuh ketika dipenuhi sanak saudara, malam Ahad lalu.
Penghuni rumah terbabit, S. Divya Darshini, 24, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.45 malam ketika dia bersama lebih 25 ahli keluarga berkumpul di ruang hadapan rumah bagi menyaksikan kanak-kanak bermain bunga api.
Katanya, struktur lantai beranda rumah berkenaan secara tiba-tiba mendap dan terus runtuh.
“Bunyinya sangat kuat dan beberapa tetamu jatuh ke bawah, memang semua menjerit sebab terkejut sangat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Divya Darshini berkata, walaupun tiada kecederaan, kesemua ahli keluarga panik kerana sebahagian lantai jatuh ke bahagian bawah rumah.
Katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Melaka Tengah pada pukul 9.31 malam bagi memohon penilaian segera daripada pihak berwajib memandangkan kediaman terbabit sudah berusia lebih 100 tahun.
Ujarnya, ia terletak dalam kawasan Kampung Chetti yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
“Kami benar-benar berharap pihak berkuasa boleh turun segera sebab ini kawasan warisan UNESCO, keselamatan penduduk kena jadi keutamaan,” katanya.
Setakat ini, tiada kerja pembaikan dilakukan dan keluarga tersebut berharap kerajaan negeri serta agensi berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan penghuni dan pemeliharaan khazanah warisan negeri. – UTUSAN










