KUALA LUMPUR: Belanjawan Madani 2026 bukan sekadar dokumen kewangan tahunan seperti yang dibentang di Parlimen pada sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya ia merupakan cerminan keutamaan kerajaan dan hala tuju negara bagi tahun mendatang.
“Belanjawan Madani 2026 bukan sekadar dokumen kewangan tahunan tetapi ia adalah cerminan keutamaan kerajaan dan hala tuju negara bagi tahun mendatang,” katanya dalam kenyataan di media sosial Facebook, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas memberikan taklimat berkaitan Belanjawan Madani 2026 kepada media.
Anwar berkata, media memainkan peranan penting dalam menyampaikan naratif reformasi serta agenda perubahan negara kepada rakyat agar usaha kerajaan dapat difahami dan dihayati secara menyeluruh.
“Saya tegaskan, media memainkan peranan penting dalam menyampaikan naratif reformasi dan agenda perubahan negara kepada rakyat,” katanya.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa perincian lanjut akan dibentangkan dalam Belanjawan Madani Keempat pada Jumaat ini, dengan tumpuan terhadap usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.
“Insya-Allah, perincian lanjut akan saya bentangkan dalam Belanjawan Madani Keempat pada Jumaat ini, dengan tumpuan kepada usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi dan memperteguh asas negara yang mampan serta inklusif,” katanya.
Belanjawan Madani 2026 dijangka menjadi kerangka utama pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negara selaras dengan prinsip Malaysia Madani. – UTUSAN










