GEORGE TOWN : Kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengenal pasti dan menyenaraikan lima projek yang menjadi keutamaan untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan Pusat dalam Belanjawan 2026.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, proses pembentangan senarai projek itu telah bermula sejak awal tahun dan kini, ia tertumpu kepada penyusunan semula keutamaan agar selaras dengan keperluan negeri dan kemampuan Kerajaan Pusat.
“Kebiasaannya, setiap jabatan di peringkat negeri akan mengemukakan senarai cadangan projek kepada Pejabat Pembangunan Negeri sebelum ia dibentangkan di peringkat Kementerian Ekonomi,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat ini dijangka memperkasakan lagi agenda Ekonomi MADANI dengan memberi penekanan terhadap ketahanan fiskal, mengukuhkan asas-asas ekonomi selain meningkatkan tahap kualiti hidup rakyat.
Kon Yeow berkata, Pulau Pinang sebelum ini telah menghantar antara 100 hingga 200 cadangan projek setiap tahun, namun, selepas menyedari bahawa tidak semua cadangan tersebut akan diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan, maka, cadangan berkenaan dipinda kepada senarai yang menjadi keutamaan sahaja.
“Pada mulanya, senarai projek terbabit telah disingkatkan kepada 10 selepas proses penilaian awal dibuat dan kini, ia dikecilkan lagi kepada hanya lima projek utama yang diharap akan mendapat pertimbangan yang positif.
“Daripada lima projek keutamaan itu pula, kita harap ada peluang sekurang-kurangnya satu atau dua (projek) akan diluluskan,” ujar beliau.
Antara projek tersebut ialah pembinaan Lebuhraya Pan-Island Link (PIL), penaiktarafan Jalan Persekutuan dari Bayan Lepas ke Teluk Kumbar, projek air Muka Sauk Titi Kerawang ke Empangan Teluk Bahang serta pembinaan kompleks kesihatan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan blok bertingkat baharu di Hospital Kepala Batas.
Turut berada dalam senarai itu ialah projek naik taraf Kompleks Sukan Bertam, pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Juru, pembinaan underpass Mount Erskine-Jalan Burma serta projek Pelabuhan Tuna Pulau Pinang.
Tambah Kon Yeow, sebahagian besar daripada permohonan yang dikemukakan itu juga adalah projek infrastruktur utama yang bertujuan meningkatkan daya saing ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Kebanyakan projek yang kita pohon adalah berkaitan infrastruktur. Harapan kita, sekurang-kurangnya beberapa projek dapat diluluskan untuk manfaat rakyat Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN