Belanjawan 2026 pacu pelan Perak Sejahtera 2030 - Utusan Malaysia

Belanjawan 2026 pacu pelan Perak Sejahtera 2030

SAARANI Mohamad (tengah) menyampaikan cek kepada pemenang pada Majlis Perasmian Asas Keusahawanan Anak Remaja (Akar), Asas Keusahawanan Koperasi (Aksi) dan Junior Food Security Innovation Challenge (JSINC) Peringkat Negeri Perak 2025 di RTC Gopeng hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Belanjawan 2026 memacu agenda pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan keseimbangan antara kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, belanjawan itu memperlihatkan keprihatinan kerajaan Persekutuan melalui bantuan langsung kepada rakyat, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pelaburan terhadap kemahiran tenaga kerja, komitmen peralihan hijau serta pemerkasaan sektor digital.

“Langkah-langkah pemerkasaan TVET dan penyediaan insentif pelaburan juga dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan memperkukuh keyakinan pelabur dan industri selain menumpukan usaha membantu rakyat yang berdepan peningkatan kos sara hidup.

“Kerajaan negeri amat menghargai pengumuman yang menyentuh secara langsung pembangunan negeri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Asas Keusahawanan Anak Remaja (Akar), Asas Keusahawanan Koperasi (Aksi) dan Junior Food Security Innovation Challenge (JSINC) Peringkat Negeri Perak 2025 di Pusat Transformasi Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed.

Saarani berkata, Taman Industri Halal Perak (HIP) menjadi pemangkin ekosistem halal dan rantaian nilai agro-makanan serta pembuatan berasaskan halal.

“Sekolah terapung untuk anak-anak Orang Asli di Hulu Perak sebagai inovasi akses pendidikan komuniti pedalaman dan peruntukan naik taraf kecil sekolah tahfiz dan pondok di seluruh negara yang turut meliputi negeri ini akan meningkatkan keselamatan dan keselesaan pembelajaran.

“Kerajaan negeri juga menyambut baik peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada negeri-negeri untuk pemuliharaan biodiversiti. Bagi Perak, instrumen fiskal ini akan menyokong usaha menyeimbangkan pemuliharaan alam sekitar dengan pembangunan ekonomi secara lestari.

“Dalam masa yang sama, tumpuan Persekutuan kepada peningkatan kemahiran (termasuk pekerja gig) dan pengukuhan keselamatan dalam negeri serta daya tahan sosioekonomi akan mempercepat agenda TVET Perak, mobiliti pekerjaan anak muda, dan kebolehpasaran tenaga kerja, khususnya di kawasan pertumbuhan seperti Tanjung Malim, Manjung–Lumut, Kerian dan Kinta,” katanya.

Sehubungan itu, Saarani berkata, sejajar dengan Belanjawan 2026, kerajaan negeri akan menyelaraskan fast-track facilitation bagi menggalakkan pelaburan baharu selain peluasan kapasiti perusahaan tempatan dalam sektor halal, logistik, tenaga hijau, dan pembuatan bernilai tambah.

“Menggiatkan program TVET selain meluaskan kerjasama industri bersama GLC, universiti dan pusat latihan untuk memanfaatkan dana peningkatan kemahiran Persekutuan.

“Mengoptimumkan geran dan mekanisme EFT bagi memperluas projek konservasi komuniti dan ekopelancongan; serta memastikan bantuan dan inisiatif rakyat disalurkan secara cekap sehingga ke peringkat akar umbi melalui kerjasama setiap pemegang taruh,” katanya.

Ujarnya, belanjawan itu adalah isyarat jelas bahawa transformasi ekonomi negara dan negeri bergerak seiring.

Tambah beliau, kerajaan negeri beriltizam untuk menukarkan peruntukan kepada hasil nyata, lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, pelaburan berimpak tinggi, persekitaran yang terpelihara dan kualiti hidup rakyat yang semakin baik. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN