GEORGE TOWN : Kurangnya penekanan terhadap aspek perlindungan alam sekitar dan pendidikan awam dalam Belanjawan 2026 mengecewakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Alam Malaysia (SAM).
Presidennya, R. Meenakshi berkata, walaupun kerajaan meneruskan beberapa langkah positif seperti rebat pembelian peralatan cekap tenaga dan peluasan inisiatif Solar Madani ke seluruh negara namun masih banyak perkara penting berkaitan kelestarian alam masih belum diberi perhatian serius.
”Kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi aktiviti pemetaan sumber nadir bumi, namun kami berharap kawasan sensitif alam sekitar serta wilayah masyarakat Orang Asli dikecualikan sepenuhnya daripada aktiviti ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut Meenakshi, SAM turut mengalu-alukan pemberian rebat RM20 juta untuk pembelian peralatan cekap tenaga oleh pengguna dan peniaga kerana ia mampu menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih efisien.
Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan pelepasan cukai individu sebanyak RM2,500 bagi pembelian mesin penghancur sisa makanan kurang tepat daripada segi keutamaan.
“Daripada menumpukan kepada pembelian mesin, lebih baik kerajaan memperuntukkan dana untuk program pendidikan alam sekitar dan pengguna agar masyarakat lebih sedar dan mampu mengamalkan gaya hidup mampan. Malangnya, tiada peruntukan seumpamanya disediakan,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai Dana Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) bernilai RM250 juta, Meenakshi berkata, jumlah itu kekal sama seperti tahun sebelumnya dan masih tidak mencukupi bagi memastikan kerajaan negeri dapat memulihara serta melindungi hutan dengan berkesan.
“Kami mengharapkan peruntukan yang lebih tinggi, terutama bagi melindungi kawasan tadahan air dan Central Forest Spine yang amat penting untuk keseimbangan ekologi. Malangnya, tiada sebarang penekanan terhadap perlindungan koridor hidupan liar atau usaha membanteras pemburuan haram dan penyeludupan fauna serta flora,” katanya.
Katanya, SAM turut mengalu-alukan peruntukan RM80 juta bagi 2,500 renjer komuniti yang ditugaskan melindungi hutan, namun pihaknya berharap skop tugas mereka turut merangkumi usaha memerangi pemburuan dan perdagangan hidupan liar.
“Selain itu, peruntukan RM300 juta untuk rawatan dan pembersihan sungai termasuk RM10 juta bagi pembangunan National River Trail juga disambut baik, tetapi kerajaan perlu memperkukuh penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pencemaran air dan udara,” katanya.
Tambahnya, SAM turut menyambut baik pengenalan cukai karbon kepada sektor besi, keluli dan tenaga, namun menegaskan bahawa perinciannya perlu dijelaskan bagi memastikan keberkesanan dalam mengurangkan pelepasan karbon.
“Pada masa yang sama, kami amat bimbang dengan tumpuan terhadap pembangunan pusat data dan kecerdasan buatan (AI) yang menggunakan tenaga dan air dalam jumlah tinggi. Isu ini perlu diambil kira dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara,” ujarnya.
Katanya, SAM menyambut baik langkah kerajaan memperuntukkan RM460 juta kepada NADMA bagi pengurusan bencana dan RM210 juta untuk sistem amaran awal yang penting dalam menghadapi risiko banjir yang semakin meningkat akibat perubahan iklim. – UTUSAN










