Barisan peguam mulakan sesi konsultasi wakili 23 sukarelawan Malaysia

Barisan peguam mulakan sesi konsultasi wakili 23 sukarelawan Malaysia

SANI Araby Abdul Alim Araby ketika sidang media Misi Global Sumud Flotila Sumud Nusantara di SNCC, Sepang. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Barisan peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) yang dilantik telah memulakan sesi konsultasi untuk menjadi wakil kepada 23 sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan oleh tentera Israel.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby turut mengesahkan kesemua sukarelawan Malaysia itu ditemukan selamat dan juga sihat.

“Usaha rundingan diplomatik pada tahap maksimum sedang digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, kepimpinan Qatar, Setiausaha Amerika Syarikat serta beberapa negara rakan strategik lain bagi memastikan pembebasan segera delegasi Malaysia yang ditahan.

“Perdana Menteri memaklumkan kepada SNCC melalui panggilan pagi tadi bahawa pihak Turkiye telah mempersetujui untuk melaksanakan sesi rundingan dan Insya-Allah sesi ini akan berakhir dengan membawa delegasi Malaysia dan juga Turkiye yang kini ditahan oleh pihak Israel (akan) dibawa terbang ke Istanbul, sebelum seterusnya dibawa pulang ke Malaysia,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Malaysia sedang melaksanakan usaha bersungguh-sungguh membawa keluar semua aktivis negara ini yang menyertai misi GSF menerusi Turkiye, dengan usaha itu dijangka mengambil masa satu atau dua hari.

Menurut Anwar, beliau sudah menyampaikan permintaan itu kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dan pemimpin dunia Islam itu juga bersetuju.

Anwar menjelaskan, usaha membawa keluar itu turut melibatkan peranan Majlis Keselamatan Turkiye yang diketuai Dr Ibrahim Kalin.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai laporan media antarabangsa berhubung perbicaraan pengusiran terhadap aktivis yang ditahan daripada misi flotila, Sani Araby bagaimanapun tidak dapat mengesahkan jika terdapat sukarelawan Malaysia yang sudah melalui proses tersebut setakat ini.

“Itu kita tidak dapat sahkan adakah keseluruhannya kerana ia melibatkan 495 sukarelawan, pastinya mengambil sedikit masa untuk kita sahkan.

“Cuma kita boleh maklumkan pada petang ini kesemua delegasi Malaysia ditemukan dalam keadaan selamat dan sihat oleh pihak peguam kita yang menjadi wakil rasmi di sana,” katanya.

Pihak berkuasa Israel pada Khamis mula mengadakan perbicaraan pengusiran terhadap aktivis yang ditahan daripada flotila bantuan antarabangsa menuju ke Semenanjung Gaza yang dikepung, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik kenyataan sebuah pusat undang-undang.

Dalam satu kenyataan, ADALAH, pusat undang-undang pertama yang dikendalikan oleh rakyat Arab Palestin di Israel memaklumkan yang ia menerima panggilan daripada peserta flotila yang melaporkan pegawai imigresen memulakan sesi perbicaraan berkaitan penahanan dan perintah pengusiran mereka di Pelabuhan Ashdod, sejurus selepas pasukan tentera laut Israel menggempur puluhan kapal flotila lewat Rabu dan awal pagi Khamis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN