KEPALA BATAS : Seorang bapa tidak menyangka akan kehilangan dua orang anak berpunca daripada tragedi yang sama iaitu kebakaran.
Ahmad Lin@Mustafa, 74, ialah bapa kepada Mohd. Fitri Ahmad, 35, salah seorang daripada mangsa yang rentung akibat kebakaran susulan satu kemalangan di Jalan Pekan Darat menghala ke Sungai Lokan di sini, semalam.
Ahmad berkata, sebelum kehilangan anak kelapan daripada 10 beradik itu, dia pernah kehilangan seorang lagi anak iaitu kakak kepada Allahyarham sekitar tahun 70-an.
“Ketika itu, umur anak saya itu (kakak Allahyarham) baru tujuh tahun. Dia meninggal kerana kelambu terbakar,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik di Hospital Kepala Batas (HKB) di sini.
Mengulas mengenai tragedi yang menimpa arwah Mohd. Fitri pula, Ahmad berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anak-anaknya yang lain.
“Saya sendiri ada lihat video kejadian tersebut, namun, saya reda. Tak boleh nak buat apa dah. Kami kemudian bergegas ke sini sebaik sahaja mendapat maklumat lanjut.
“Bagaimanapun, kami dimaklumkan oleh pihak polis bahawa proses pengambilan sampel DNA (asid deoksiribonukleik) itu akan dilakukan esok,” katanya.
Adik bongsu Allahyarham, Mohd Arif, 31, pula memberitahu, ketika hayat, Mohd. Fitri seorang yang ringan tulang dan rajin mengemas rumah selain mempunyai ramai kawan.
“Kali terakhir saya berjumpa arwah ialah sebelum hari kejadian kerana kami memang tinggal bersama di Kampung Teluk Amboi, Kota Kuala Muda, Kedah,” katanya.
Difahamkan, dalam kejadian tersebut, Mohd. Fitri merupakan penumpang kereta kerana diberitahu oleh keluarganya bahawa dia tidak tahu memandu kereta.
Dalam pada itu, identiti seorang lagi mangsa rentung yang dipercayai pemandu kereta terbabit masih menjadi misteri buat masa ini.
Semalam, dua individu rentung selepas dipercayai terperangkap dalam sebuah kereta yang terbakar susulan satu kemalangan di Jalan Pekan Darat menghala ke Sungai Lokan. Rakaman video mengenai kemalangan tersebut juga tular di media sosial khususnya laman Facebook.-UTUSAN