PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup kepada 4,000 pesara kontrak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) daripada RM300 kepada RM500 sebulan.
Selain itu, bagi menghargai pengorbanan dan keperwiraan anggota tentera, khususnya pemegang Pingat Jasa Malaysia, kerajaan bersetuju memberikan bayaran khas RM500 kepada hampir 120,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia dengan peruntukan RM60 juta.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memperluas pelaksanaan Bantuan Insentif Berasaskan Prestasi kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam perkhidmatan awam Persekutuan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Beliau berkata, ia bagi mengiktiraf prestasi cemerlang penjawat awam yang telah lama berkhidmat tetapi masih menunggu peluang kenaikan pangkat disebabkan kekangan struktur perjawatan.
“Melalui perluasan ini, pegawai yang berada dalam skim perkhidmatan yang kenaikan pangkatnya hanya tertakluk kepada kekosongan jawatan dan telah berkhidmat sekurang-kurangnya enam atau lapan tahun tertakluk kepada gred jawatan semasa serta menunjukkan prestasi yang baik dan cemerlang.
“Mereka akan diberikan insentif khas bersamaan dengan nilai satu Kenaikan Gaji Tahunan pada gred semasa, yang akan dibayar secara bulanan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN










