PETALING JAYA: Belanjawan 2026 mengambil pendekatan berbeza dalam menyantuni penjawat awam dan golongan pesara dengan bantuan lebih berstruktur untuk jangka panjang, berbanding pemberian tunai seperti yang lazim diperkenalkan dalam belanjawan terdahulu.
Profesor Kewangan Dan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Prof Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, antara bentuk bantuan yang diketengahkan termasuk peningkatan peruntukan kepada perkhidmatan jagaan warga emas, insentif untuk meningkatkan simpanan persaraan individu serta pelarasan pencen yang lebih mampan.
“Pendekatan ini dilihat sebagai usaha untuk memperkukuh daya tahan kewangan pesara secara lebih mampan dalam jangka panjang.
“Berbeza dengan Belanjawan 2025 yang menyaksikan pengumuman Bantuan Khas RM500 kepada pesara, Belanjawan 2026 memfokuskan kepada strategi menyeluruh yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan pesara melalui pembaharuan struktur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nik Maheran berkata, walaupun bantuan khas dalam bentuk tunai mempunyai kesan positif dari segi sosial dan ekonomi, ia lebih bersifat jangka pendek.
Katanya, bantuan ini dapat membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang meningkat, terutama dalam kalangan pesara berpendapatan rendah.
“Pemberian tunai mempunyai kesan rangsangan fiskal segera kerana perbelanjaan pesara akan merancakkan aktiviti ekonomi domestik, khususnya dalam sektor pengguna.
“Namun begitu, kesannya dijangka bersifat sementara dan tidak menangani isu kecukupan pendapatan persaraan secara mendalam,” katanya.
Beliau berkata, pelarasan pencen yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 disambut baik, namun masih timbul persoalan mengenai keupayaannya untuk menampung kenaikan kos sara hidup yang terus meningkat, terutama dalam aspek makanan dan penjagaan kesihatan.
“Golongan pesara awal dengan jumlah pencen yang lebih rendah dijangka paling terkesan, sekaligus menjejaskan daya tahan kewangan mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Nik Maheran mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan mekanisme pelarasan pencen automatik yang berpandukan indeks harga pengguna (CPI) bagi memastikan kelestarian kesejahteraan pesara dalam jangka panjang.
“Golongan pesara tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai penerima bantuan, tetapi sebagai penyumbang kepada ekonomi. Mereka bukan sahaja menyokong permintaan domestik sebagai pengguna, malah memiliki kepakaran yang boleh dimanfaatkan melalui peranan sebagai mentor, perunding, mahupun usahawan.
“Tambahan pula, mereka turut berperanan sebagai tunjang sosial dalam keluarga, membolehkan generasi bekerja menyertai pasaran buruh sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kerajaan Madani dilihat mula beralih daripada pemberian bantuan tunai secara “one-off” kepada pendekatan yang lebih berstruktur seperti subsidi bersasar.
Katanya, langkah ini merupakan strategi penting untuk memperkukuh disiplin fiskal negara serta memastikan bantuan yang diberikan sampai kepada golongan sasar dengan lebih berkesan.
“Pemberian barangan asas melalui subsidi bersasar, bukan sahaja mengawal perbelanjaan kerajaan tetapi juga memastikan wang dibelanjakan dalam negara, khususnya untuk barangan keperluan seperti makanan dan bahan api.
“Bantuan dalam bentuk tunai lebih mudah disalahgunakan untuk perbelanjaan tidak perlu, malah ada yang menggunakannya untuk tujuan di luar negara seperti melancong. Ini bertentangan dengan matlamat asal bantuan iaitu untuk menyokong kehidupan asas rakyat dan merangsang ekonomi domestik,” katanya.
Tambah beliau, apabila aliran tunai kekal dalam ekonomi tempatan, ia memberi kesan berganda yang positif kepada pelbagai sektor industri.
“Perbelanjaan domestik akan terus menjadi pemacu utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lebih-lebih lagi dalam suasana ketidaktentuan pasaran global.
“Dengan cabaran eksport akibat dasar perdagangan seperti tarif AS yang kembali memuncak dan dijangka menjejaskan pertumbuhan global pada 2026, Malaysia perlu memberi fokus kepada kekuatan ekonomi dalam negara. Momentum perbelanjaan rakyat dan perniagaan perlu disokong secara konsisten,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, bantuan tunai masih dilihat relevan dalam keadaan tertentu dan boleh digabungkan bersama subsidi bersasar, bergantung kepada keperluan isi rumah.
“Dalam hal ini, penggunaan dan pengurusan data yang cekap oleh agensi kerajaan amat kritikal.
“Kerajaan perlu mempunyai data yang tepat untuk menilai keperluan sebenar setiap isi rumah. Ini akan membantu menentukan bentuk bantuan yang paling sesuai sama ada tunai, barangan, atau kombinasi kedua-duanya,” katanya lagi.
Dalam Belanjawan 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, semua penjawat awam Gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500.
Bantuan khas turut diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen sebanyak RM250 yang akan disalurkan pada awal Mac 2026 sempena sambutan Aidilfitri.
REAKSI
“Bantuan khas kewangan kepada pesara bernilai RM250 bermanfaat jika dibelanjakan secara bijak.
Kami menyambut baik langkah kerajaan memberikan bantuan khas RM500 kepada penjawat awam, termasuk lantikan kontrak, tahun hadapan. Bantuan ini amat bermakna terutamanya apabila diberikan menjelang musim perayaan tahun hadapan.
Pada saya, ini satu langkah positif kerana dapat mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah. Waktu musim perayaan, banyak perbelanjaan tambahan berlaku, jadi sekurang-kurangnya bantuan ini dapat meringankan beban terutama bagi golongan B40.”

“Pengumuman bantuan khas ini amat baik dan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam.
Walaupun jumlahnya tidak besar, sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban kos hidup. Bantuan khas ini membantu dalam jangka masa pendek, contohnya untuk beli barang keperluan atau ubat-ubatan.
Saya juga berharap kerajaan dapat perkenalkan lebih banyak kemudahan untuk pesara, seperti rawatan kesihatan percuma, diskaun bil utiliti dan bantuan kebajikan lain. Itu lebih bermakna daripada bantuan sekali-sekala.”

“Pengumuman bantuan khas kepada penjawat awam dalam Belanjawan 2026 adalah satu langkah penghargaan kepada penjawat awam yang sedang berkhidmat untuk negara mahupun yang telah bersara.
Ini satu penghargaan yang penting, tetapi pada masa yang sama,pemberian bonus tersebut juga perlulah dilihat seiring dengan usaha untuk meningkatkan struktur gaji dan manfaat jangka panjang kepada penjawat awam dan pesara kerajaan.
Bantuan khas yang telah diumumkan di dalam Belanjawan 2026 diperhatikan sebagai satu usaha yang positif. Saya mencadangkan agar bantuan tersebut dilaksanakan secara berterusan, terutamanya bagi pesara yang tiada sumber pendapatan lain dan kepada pesara yang hanya berharap kepada pencen mereka yang tidak seberapa.”

“Bantuan kepada pesara yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 menunjukkan kerajaan tidak melupakan jasa dan pengorbanan kami yang pernah berkhidmat untuk negara.
Bantuan khas ini sangat bermakna dan dapat membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat, terutamanya bagi pesara yang bergantung sepenuhnya kepada pencen bulanan.
Terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan dan usaha membantu golongan pesara. Semoga bantuan sebegini dapat diteruskan dari semasa ke semasa demi kebajikan pesara seluruh negara.”











