SETELAH berpisah dengan rakan bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Jerantut sejak 48 tahun lalu, akhirnya Atje Cystarini, 60-an bertemu semula dalam satu majlis alumni anjuran bekas pelajar sesi 1973 – 1977 di Hana Garden Hall, bandar Jerantut baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Pelajar, Atje Cystarini yang menetap di Bekasi, Indonesa berdekatan Jakarta berkata, dia belajar di SM Jerantut sewaktu mengikut bapanya bertugas sebagai doktor di sebuah hospital di bandar ini sekitar tahun 1970-an.
Dia bersyukur dan tidak dapat meluahkan kata-kata betapa gembira kerana dapat bertemu semula dengan rakan sekolah di Jerantut dahulu sambil meraikan seorang bekas guru mereka, Mohamad Yahaya yang berusia 77 tahun.
“Saya berasa amat sedih apabila mendapat tahu ramai guru dan rakan sekelas telah pergi mendahului kita,” kata Atje Cystarini yang turut mengambil inisiatif mengaturkan majlis pertemuan itu.
Menurut Atje Cystarini, meskipun menetap jauh di Indonesia selepas bapanya tamat perkhidmatan di Jerantut, dia masih tidak putus hubungan dengan rakan sekelas malah kerap bertanyakan khabar secara berutus surat sebelum ini dan kini beralih menggunakan saluran e-mel, dan aplikasi Tiktok dan Whatsapp.
“Saya mengambil inisiatif mengesan kedudukan rakan alumni serta bekas guru dan pelajar sejak 17 tahun lalu sehingga kini. Ada yang berjaya dikesan dan selebihnya terputus hubungan langsung.
“Apabila dapat berjumpa dengan rakan sekelas pada majlis ini, saya sungguh terharu malahan menitiskan air mata ketika kami sama-sama mengungkapkan nostalgia yang lalu termasuk mengenang kalangan guru dan rakan yang sudah meninggal dunia,” katanya.
Atje Cystarini berharap selepas dia kembali ke Indonesia nanti, jalinan ukhuwah akan terus digilap sesama rakan alumni. Dia akan datang semula ke Malaysia sekiranya masih mampu untuk merancang pertemuan yang sama pada tahun akan datang.
Sementara itu, bekas wartawan akhbar Utusan Malaysia di Kuala Lumpur era 1990-an, Nasir Mamat, 64, berkata, dia juga bersyukur dan gembira kerana pertemuan dalam majlis alumni SMJ yang cukup bermakna dan penuh nostalgia.
“Kami berpisah selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) serta membawa haluan masing-masing sejak 48 tahun lalu dan kini dapat berjumpa dalam status masing-masing sudah bergelar warga emas dan ada sebilangannya kurang sihat,” katanya.
Nasir seorang pelajar cemerlang SMJ 1977 yang kemudiannya berhenti sebagai wartawan Utusan Melayu dengan mengalih kerjaya sebagai Pegawai Daerah Sabak Bernam (Selangor) berkata, pertemuan itu dapat menjalin semula silaturahim dan pada masa yang sama berpeluang meraikan kehadiran bekas guru mereka banyak berjasa mencurah ilmu.
Rakannya, juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia tahun 1980-an, Nazeri Nong Samah berkata, dalam tempoh yang lama, dia kehilangan ramai rakan sekelas dan tidak tahu khabar berita sehinggalah bertaut semula dalam majlis alumni.
“Hanya titipan doa sahaja kepada rakan alumni kerana masing-masing tinggal berjauhan dan menguruskan kerjaya masing-masing sebelum ini,” katanya.
Nazeri yang berasal Kampung Pulau Tawar berkata, dia kagum dengan Atje yang tidak henti-henti menghubungi mereka serta mencadangkan supaya diadakan pertemuan tersebut malahan dia sendiri mengambil inisiatif menyelaras majlis tersebut bersama rakan yang lain.
Dalam pada itu, bekas guru SMJ, Mohamad Yahaya, 77, yang hadir dalam majlis tersebut turut menyampaikan nasihat kepada bekas anak muridnya supaya sentiasa menjaga kesihatan.
“Kesihatan amat penting kepada kita semua, terutama apabila sudah menjadi warga emas. Untuk memastikan tubuh kita terus sihat, selain penjagaan makanan, kita jangan terlalu berasa stres ketika berdepan masalah, sebaliknya hadapi dengan tenang dan elakkan memberatkan perasaan serta fikiran,” katanya. – UTUSAN









