ASEAN utuh sebalik pergolakan geopolitik dunia

ASEAN utuh sebalik pergolakan geopolitik dunia

ANWAR Ibrahim bergambar bersama pemimpin-pemimpin negara ASEAN pada Majlis Perasmian Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN kekal utuh meskipun dunia kini berdepan ketidaktentuan serta pergolakan geopolitik yang semakin mencabar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tahun 2025 menuntut lebih daripada semua negara anggota ASEAN dalam menghadapi dunia tidak menentu, yang menguji kestabilan seluruh dunia dan rantau ini.

“Di pelbagai rantau, kita melihat peningkatan perebutan pengaruh dan ketidaktentuan yang kian mendalam. Arus silang ini bukan sahaja menguji kekuatan ekonomi kita, tetapi juga keteguhan tekad kita untuk terus berpegang pada semangat kerjasama untuk terus percaya bahawa kefahaman dan dialog masih boleh mengatasi perpecahan dunia. 

“Namun, di sebalik segala cabaran ini, ASEAN tetap utuh. Kekuatan kita bukan pada keseragaman, tetapi pada keyakinan bahawa hormat dan rasional masih menjadi tali pengikat bersama,” katanya pada majlis pembukaan rasmi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Anwar menyifatkan menandatangani perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand pagi ini sebagai bukti nyata bahawa keyakinan terhadap perdamaian dan dialog mampu membawa perubahan besar kepada masa depan sesebuah negara.

“Apabila Kemboja dan Thailand menandatangani perjanjian damai di Kuala Lumpur, dunia akan menyaksikan apa yang boleh dicapai melalui keyakinan tersebut. 

“Ia mengingatkan kita bahawa perdamaian bukanlah tanda kelemahan, tetapi satu keberanian dan apabila keamanan dipilih, ia mampu mengubah masa depan sesebuah negara,” katanya. 

Majlis bersejarah itu turut disaksikan oleh para pemimpin ASEAN, wakil rakan dialog dan tetamu antarabangsa, yang menyifatkan kejayaan tersebut sebagai lambang kekuatan diplomasi ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian secara aman dan berprinsip.

Turut hadir, Brazil dan Afrika Selatan sebagai Tetamu Pengerusi Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 sebagai langkah penting memperluas penglibatan ASEAN dengan BRICS dan G20, serta mengukuhkan jambatan kita ke arah Global South.

Anwar turut berkata, ASEAN kekal berpegang kepada Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai panduan utama dalam menangani krisis di Myanmar, termasuk melalui pelbagai saluran diplomatik dan kerjasama dengan rakan antarabangsa bagi mengurangkan keganasan serta menangani krisis kemanusiaan.

“Berpandukan Konsensus Lima Perkara, ASEAN telah menggunakan segala saluran dan rakan kerjasama untuk mengurangkan keganasan serta meringankan krisis kemanusiaan. Namun, keamanan sejati tidak boleh dipaksakan. Ia mesti lahir daripada rakyat Myanmar sendiri hanya dengan cara itu perdamaian akan berkekalan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN