KUALA LUMPUR: ASEAN menjadi tonggak penting membantu mengekalkan kestabilan dan kemakmuran di rantau Indo-Pasifik berasaskan undang-undang antarabangsa serta prinsip keamanan sejagat.
Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon berkata, walaupun keadaan dunia tidak menentu, namun ASEAN dan New Zealand kekal berkongsi keyakinan terhadap kepentingan diplomasi berbanding kekerasan dalam menangani cabaran global.
“ASEAN dan New Zealand tetap teguh mempercayai perkara sama iaitu keutamaan berdialog berbanding senjata.
“Sistem berasaskan peraturan di mana hak tidak ditentukan oleh saiz, perdagangan yang kekal terbuka dan prinsip berasaskan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN–New Zealand di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Luxon berkata, hubungan dua hala kini lebih kukuh dengan dua perjanjian perdagangan bebas serantau iaitu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–Australia–New Zealand (AANZFTA).
“Nilai dagangan dua hala antara kini mencecah AS$30 bilion (RM142 bilion) setahun.
“Sebagai perbandingan, kita kini berdagang dalam masa tiga hari jumlah yang sama seperti keseluruhan tahun 1975 dengan negara-negara ASEAN,” katanya.
Katanya, New Zealand turut menandatangani perjanjian baharu perkhidmatan udara serantau yang dijangka memperkukuh hubungan mobiliti dan ekonomi antara kedua-dua pihak.
Mengulas ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik ASEAN–New Zealand tahun depan, beliau berkata, ia merupakan detik penting bagi memperingati lima dekad pertumbuhan dan pembangunan bersama serta ulang tahun ke-20 penyertaan New Zealand dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC).
“Kerjasama kita meliputi pelbagai bidang, termasuk pendidikan, pertanian, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital. Ia menjadikan kedua-dua pihak lebih makmur dan selamat dalam dunia yang mencabar,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Timor-Leste atas penyertaan rasminya sebagai ahli ke-11 ASEAN sambil menegaskan bahawa New Zealand sentiasa menyokong aspirasi negara tersebut untuk menjadi sebahagian daripada komuniti serantau.
Katanya, di bawah RCEP dan ASEAN, New Zealand akan mengadakan mesyuarat pemimpin secara rasmi setiap dua tahun bagi membincangkan hala tuju serta memperkukuh kerjasama masa depan.
“Saya teruja melihat arah masa depan hubungan kita. ASEAN dan New Zealand bukan sahaja berkongsi rantau, tetapi juga tanggungjawab bersama untuk membentuk masa depan yang lebih damai dan sejahtera,” katanya.-UTUSAN










