ASEAN perkukuh komitmen keselamatan, kemampanan tenaga serantau

ASEAN perkukuh komitmen keselamatan, kemampanan tenaga serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN memperkukuh komitmen terhadap keselamatan dan kemampanan tenaga serantau melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Grid Tenaga ASEAN yang dipertingkat serta Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai keselamatan petroleum.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah itu merupakan antara inisiatif penting dalam membina masa depan tenaga yang lebih berdaya tahan dan mampan di rantau ini.

“Dalam masa sama, ASEAN mengalu-alukan Inisiatif Pembiayaan Grid Tenaga ASEAN yang disokong oleh Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB).

“Sokongan tersebut dijangka dapat memudahkan serta mempercepat pembangunan infrastruktur tenaga rentas sempadan, sekali gus meningkatkan integrasi tenaga antara negara anggota,” katanya selepas Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.

Selain itu, jelasnya, selaras dengan komitmen ASEAN terhadap agenda kemampanan serantau, blok serantau itu telah menerima pakai Garis Panduan Pelaburan Mampan ASEAN.

“Langkah ini bertujuan memperkukuh dan melengkapi pelbagai inisiatif ke arah pencapaian neutraliti karbon serta pengukuhan ekonomi kitaran di rantau ini.

“Pelaksanaan garis panduan tersebut dijangka akan mewujudkan landskap pelaburan yang lebih bertanggungjawab, inklusif dan berdaya tahan, sekali gus menarik minat pelabur yang menitikberatkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya.

Tengku Zafrul berkata, ASEAN turut menerima pakai Rangka Kerja ASEAN bagi Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu bagi memperkukuh kedudukan rantau ini dalam rantaian nilai global industri semikonduktor.

“Melalui rangka kerja ini, ASEAN berhasrat untuk memanfaatkan kekuatan sedia ada serta momentum kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan bahagian pasaran rantau ini dalam industri semikonduktor global, yang diunjur mencapai nilai AS$1 trilion menjelang 2029.

“Langkah ini mencerminkan usaha strategik ASEAN untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dan memperkukuh daya saing ekonomi digital serantau dalam era transformasi teknologi global,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Visi bagi Makanan, Pertanian dan Perhutanan ke Arah 2045 menggariskan aspirasi jangka panjang untuk membangunkan sektor yang mampan, inklusif dan berdaya tahan.

“Ia juga bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup petani, memperkukuh tindakan terhadap perubahan iklim dan inovasi, serta memantapkan kedudukan ASEAN sebagai rakan dagang utama di peringkat global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN