ASEAN: Malaysia serlah kepemimpinan berwawasan

ASEAN: Malaysia serlah kepemimpinan berwawasan

Penduduk Gaza mengangkat mayat yang ditemui di bawah runtuhan bangunan yang musnah selepas Israel mencabuli gencatan senjata dan menyerang bandar itu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 menyerlahkan kepemimpinan strategik dan berwawasan Malaysia dalam mengemudi hal ehwal serantau dan antarabangsa dengan penuh kebijaksanaan, inovasi serta pandangan jauh.

Menurut Kedutaan Palestin di Malaysia, kejayaan Sidang kemuncak itu mencerminkan kematangan dan kepemimpinan Malaysia sebagai peneraju yang berupaya memperkukuh perpaduan ASEAN serta memperluas kerjasama kolektif ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rantau ini.

Katanya, Malaysia yang memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025 membawa tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang menzahirkan komitmen kukuh terhadap agenda pembangunan ekonomi inklusif, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Sidang kemuncak yang diadakan di Kuala Lumpur ini menjadi bukti komitmen Malaysia untuk memastikan ASEAN kekal sebagai blok serantau yang bersatu, progresif dan berdaya tahan,” kata kedutaan itu dalam kenyataan semalam.

Sidang tersebut turut menghimpunkan pemimpin daripada negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama seperti China, Jepun, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah yang menjadikannya platform penting bagi memperkukuh dialog strategik serta memperluas jaringan kerjasama serantau.

Katanya, Malaysia terus memperjuangkan isu-isu serantau dan global berasaskan prinsip keadilan, diplomasi inklusif dan saling hormat, yang dilihat menyumbang kepada pengukuhan kedudukan ASEAN sebagai entiti berpengaruh di pentas antarabangsa.

Kedutaan itu turut menekankan peranan berterusan Malaysia dalam mengetengahkan isu Palestin sebagai sebahagian daripada agenda ASEAN, selaras dengan sokongan konsisten negara terhadap hak rakyat Pa­lestin untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan sebuah negara merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

“Pendirian berprinsip Malaysia terhadap perjuangan Palestin bukan sahaja mencerminkan solidariti kukuh terhadap rakyat Palestin, tetapi juga menyumbang kepada usaha global dalam mempromosikan keadilan dan keamanan yang menyeluruh serta berkekalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN