PETALING JAYA: “Apa salah anak saya? Demikian respons pelakon, Datuk Aaron Aziz apabila menerima surat tuntutan (LOD) daripada pempengaruh, Sharina Richie yang didakwa memfailkan saman berjumlah RM2 juta terhadap anak perempuannya, Dwi Ariana.
Aaron terkejut dengan tindakan pempengaruh itu selain menegaskan anak perempuannya tidak sepatutnya terpalit dalam isu ini.
“Semalam saya terima satu LOD yang mengejutkan iaitu pihak Sharina mahu menyaman anak saya sebanyak RM2 juta.
“Apa salah anak saya, dia hanya minta penjelasan mengapa video dimuatnaik pihak sana masih belum dipadam.
“Itu sahaja dan bukan satu jenayah, bahkan anak saya tidak maki atau kutuk. Semua kenyataan dia ada dalam LOD ini,” katanya.
Jelas Aaron, dia dan isteri telah sepakat untuk tidak memaklumkan perkara ini kepada Dwi Ariana bagi mengelak mentalnya terganggu.
“Sebenarnya saya dan isteri (Datin Diyana Halik) tak mahu maklumkan kepada Dwi Ariana sebab bimbang akan ganggu emosinya.
“Namun, apabila pihak sana muat naik video dan sebut nama anak saya, memang tiada pilihan. Saya perlu tampil dan pertahankan dia,” ujarnya dalam laporan portal Gempak hari ini.
Dalam pada itu, Aaron terkilan kerana tindakan pempengaruh itu menyebabkan sudah tiada jalan untuk berbaik sekali gus memberikan kesan kepada kerjaya dan emosi anaknya.
“Kalau Sharina tak failkan saman pada anak saya, mungkin boleh maafkan tetapi sekarang dia pilih jalan ini dan ruang untuk berbaik itu sudah tiada.
“Kerjaya saya terjejas disebabkan isu ini. Dua orang anak saya yang kini melanjutkan pelajaran di luar negara turut hadapi tekanan. Jika berlaku sesuatu pada mereka, siapa yang nak bertanggungjawab?” katanya.
Terdahulu, pempengaruh, Sharina memuat naik video mendakwa Aaron tidak cakna terhadap isu Palestin.
Aaron bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut selain menegaskan video yang dimuat naik Sharina telah disunting hingga bertentangan dengan maksud asal.
Bagaimanapun, Sharina tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Aaron dan memadam video tersebut. -UTUSAN










