Anwar seperti saya, pernah dianiaya, dipenjara – Presiden Brazil

Anwar sama seperti saya, pernah dianiaya, dipenjara, kini tekad berjuang demi keadilan – Presiden Brazil

LUIZ Inacio Lula Da Silva bersalaman dengan Anwar Ibrahim selepas sidang akhbar bersama di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula Da Silva yang kini menjawat penggal ketiganya sebagai ketua negara, tampil menyampaikan mesej sarat makna tentang perjuangan, keadilan sosial dan nilai kemanusiaan.

Mesej itu disampaikan beliau ketika sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.

Lula, yang terkenal dengan kisah hidupnya sebagai bekas buruh besi sebelum menjadi Presiden dan pernah dipenjarakan atas tuduhan rasuah berkata, beliau amat gembira berada di Malaysia, sebuah negara yang disifatkannya indah dan penuh keakraban.

“Dalam fikiran saya, hubungan antara manusia bermula dengan sesuatu yang kecil, apabila kita bertemu seseorang, kita terus merasai sama ada kita menyukainya atau tidak.

“Ketika saya bertemu sahabat saya, Anwar, saya tahu bahawa saya sedang berhadapan dengan seorang teman sejati, seseorang yang pernah dianiaya, seperti saya pernah dipenjarakan.

“Anwar seorang yang mempunyai tekad untuk berjuang demi keadilan dan menamatkan penderitaan rakyatnya,” katanya.

Lula Da Silva menegaskan, kunjungannya ke Malaysia bukan semata-mata bagi urusan perdagangan, sebaliknya membawa mesej kemanusiaan sejagat dan tekad untuk memperjuangkan keamanan dunia.

“Saya datang kerana percaya bahawa humanisme tidak boleh dikalahkan oleh kejahatan. Saya datang untuk menyampaikan kepada dunia bahawa kita memerlukan keamanan, bukan peperangan; perdagangan bebas, bukan perlindungan diri; lebih banyak makanan, dan kurang kelaparan. Itulah tujuan hidup saya,” katanya.

Lula turut mengingatkan bahawa tugas utama seorang pemimpin ialah menjaga rakyat, khususnya mereka yang paling memerlukan, dan bukan hanya mengutamakan golongan berada.

“Orang kaya tidak perlukan bantuan kerajaan, tetapi mereka lah yang sering yang paling banyak mendapat manfaat. Sedangkan perkhidmatan negara sepatutnya diberikan kepada golongan yang lemah,” katanya.

Beliau pada masa sama menceritakan pengalamannya dilahirkan di sebuah bandar miskin di Brazil, di mana ramai kanak-kanak mati kelaparan sebelum berumur lima tahun.

Beliau  hanya merasai sepotong roti buat kali pertama ketika sudah dewasa dan pengalaman itu membuatkan beliau bertekad untuk memperjuangkan mereka yang tersisih dan ‘tidak kelihatan’.

“Mereka yang hidupnya diabaikan seolah-olah tidak wujud. Mereka hanyalah menunggu sedikit keprihatinan dan sebahagian kecil daripada bajet negara untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal,” ujarnya.

Lula, 79, sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara selama hampir dua tahun selepas disabitkan kesalahan rasuah pada tahun 2017 dalam skandal Operação Lava Jato (Operasi Car Wash) sebelum Mahkamah Agung Brazil membatalkan sabitan tersebut pada 2021 atas alasan perbicaraan tidak adil.

Kebangkitannya semula dalam politik dianggap luar biasa apabila beliau berjaya menewaskan penyandang Jair Bolsonaro dalam pilihan raya presiden 2022, sekali gus menandakan kemunculan semula dramatik seorang bekas banduan ke puncak kuasa tertinggi negara.

“Mentadbir ialah membuat keputusan, memutuskan untuk siapa kita memerintah dan di pihak mana kita berdiri.

“Seorang pemimpin mesti sentiasa ingat asal-usulnya dan memerintah dengan kasih sayang, maruah serta kepercayaan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN