Anak harap kematian ibu, adik angkat dapat pembelaan

Anak harap kematian ibu, adik angkat dapat pembelaan

MOHD. Noor Hafifi Hassan (dua kiri) di pusara ibu dan adiknya pada majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Maarif di Jeneri, Sik, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Anak tunggal lelaki kepada mangsa yang ditemukan maut dalam rumah sewa mereka di Pulau Pinang, kelmarin berharap kematian ibu dan adik angkatnya mendapat pembelaan sewajarnya.

Mohd. Noor Hafifi Hassan, 28, berkata, dia tidak mahu apa yang dialaminya ketika ini berulang kepada orang lain pada masa hadapan.

“Saya memang mengharapkan keadilan, bukan untuk saya sahaja tetapi saya mohon keadilan supaya kejadian macam ini tidak menimpa orang lain yang akan mengalami kesedihan seperti saya.

“Saya juga amat berharap agar semua orang ambil apa yang berlaku sebagai iktibar supaya sentiasa berwaspada tentang keselamatan diri dan keluarga,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Maarif, Jeneri, di sini malam tadi.

Terdahulu, akhbar melaporkan mayat Sariya Che Him, 51, dan anaknya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemukan di dalam rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru, Seberang Perai, kira-kira pukul 7.30 malam dengan kesan tikaman dan kelar pada anggota badan termasuk kepala dan tangan dalam keadaan hampir putus.

Susulan kejadian, polis menahan suami mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berusia 57 tahun, bagi membantu siasatan.
Sementara itu; Mohd. Noor Hafifi meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian ibu dan adik perempuannya itu.

“Sewaktu saya berada di hospital, dapat tahu macam-macam perkara tular, ada rakaman suara yang disebarkan dalam media sosial, jadi kalau ada saksi mohon tampil bagi kerjasama kepada pihak berkuasa sebab ini kes aniaya, perlu ada saksi,” katanya.

Mengimbau kejadian itu, dia yang bekerja sebagai jurutera di Manjung, Perak terkejut apabila mendapat perkhabaran mengenai kematian ibu dan adiknya sebaik pulang dari kerja petang semalam.

“Ketika dapat panggilan saya tidak percaya dan saya terus hantar pesanan kepada ibu menerusi aplikasi WhatsApp namun tidak dibalas. Saya memang bercadang untuk pulang ke rumah ibu semalam atau hari ini, banyak yang saya lalui bersama ibu rasa singkat sangat waktu saya bersama dia dan adik,” katanya.

Sementara itu proses pengebumian berlangsung dalam suasana pilu setelah kedua-dua jenazah tiba di pekarangan Masjid Al-Maarif, Jeneri pada pukul 7.15 malam. Solat jenazah dan bacaan talkin dipimpin oleh imam masjid berkenaan, Khadzir Sulaiman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN