Aktivis Sumud Flotilla dibebas sehari dua lagi

Aktivis Sumud Flotilla dibebas sehari dua lagi

ANWAR Ibrahim melawat gerai makan di Bazaria Pantai selain menyantuni wakil peniaga dan pengunjung di Pantai Dalam, Kuala Lumpur semalam. – GAMBARPEJABAT PERDANA MENTERI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesemua 23 rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel kelmarin dijangka dibebaskan dalam tempoh satu atau dua hari lagi dengan bantuan Kerajaan Turkiye.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah berhubung dengan Recep Tayyip Erdogan semalam, dan Presiden Turkiye itu menugaskan Ketua Keselamatan mereka, Dr. Ibrahim Kalin untuk membantu Malaysia membawa keluar 23 peserta GSF yang ditahan oleh rejim zionis.

Katanya, sepanjang semalam, Dr. Ibrahim memaklumkan bahawa hubungan Malaysia dengan Turkiye telah memberi manfaat dalam usaha ini.

“Walaupun kita tiada sebarang hubungan dengan rejim zionis Israel, saluran diplomasi dengan negaranegara sahabat banyak membantu.

“Sepanjang semalam, Dr. Ibrahim Kalin memaklumkan bahawa hubungan kita dengan Amerika Syarikat, Qatar dan Turkiye memberi manfaat dalam usaha ini.

“Walaupun kita tiada sebarang hubungan dengan rejim Zionis Israel, saluran diplomasi dengan negara sahabat banyak membantu.

“Anak-anak kita di sana semuanya dalam keadaan selamat walaupun ditahan secara zalim.

Tugas utama saya ialah mencari jalan menyelamatkan mereka, apa juga cara dan kaedah yang munasabah. Kita juga berdoa agar Allah SWT melindungi mereka,” katanya.

Anwar berkata, dalam perbualan dengan Erdogan, beliau meminta Presiden Turkiye itu membawa keluar rakyat Malaysia dari mana-mana lokasi sekitar Israel ke Istanbul dengan pesawat khas Turkiye yang pada masa sama mengambil rakyatnya sendiri.

Dari Istanbul, Malaysia akan membawa pulang peserta GSF dan rundingan itu telah mencapai persefahaman sejak awal pagi semalam.

“Itu yang terakhir, tetapi selain daripada itu saya tidak dapat beri jaminan kerana ia melibatkan rejim Israel. Tetapi daripada maklumat disampaikan Majlis Keselamatan Turkiye, mereka
akan dibawa bersama tahanan Turkiye yang lain.

“Jadi dia bawa pesawat khas dari Turkiye dan saya minta mereka bawa bersama anak anak Malaysia ke Istanbul. Itu (proses membawa pulang rakyat Malaysia) dalam satu dua hari
ini. Daripada pagi tadi, nampak beberapa persefahaman sudah dicapai,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus memantau perkembangan terkini dari semasa ke semasa dan menggunakan segala kebijaksanaan diplomasi untuk membawa pulang
semua peserta GSF yang ditahan dengan selamat.

“Kita berhubung rapat dengan semua pihak, kerana yang benar-benar boleh mempengaruhi Israel itu adalah Amerika Syarikat. Oleh itu, kita menggunakan saluran Qatar dan Turkiye
untuk menyampaikan pandangan kita,” katanya.

Semalam akhbar melaporkan tentera Israel menahan lebih 300 orang daripada 497 aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia yang menyer tai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) selepas kapal mereka dipintas ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza di Laut Mediterranean.

Sementara itu Pengarah Undang-Undang The Legal Centre for Arab Minorities Right (ADALAH), Suhad Bishara, dipetik sebagai berkata pasukannya menunggu ketibaan kumpulan aktivis yang ditahan pada malam sebelumnya di pelabuhan Ashdod, kira-kira 40 kilometer di utara Semenanjung Gaza.

Katanya kepada Reuters pada Khamis, sebaik tiba, mereka akan dikenal pasti dan dipindahkan ke bawah bidang kuasa imigresen untuk proses pengusiran.

“Aktivis dijangka ditahan di Penjara Ketziot di selatan Israel. Penjara Ketziot merupakan fasiliti keselamatan tinggi yang jarang digunakan untuk tahanan imigresen.

“Tindakan luar biasa ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kumpulan hak asasi dan pemerhati antarabangsa. Kebimbangan utama kami sekarang ialah keselamatan dan tahap kesihatan aktivis.

“Kami juga mahu memastikan mereka mendapat nasihat guaman sebelum dan semasa perbicaraan di Tribunal Imigresen serta ketika ditahan dalam penjara Israel,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×