Aktivis GSF selamat tiba di KLIA, air mata tangisi ketibaan

Aktivis GSF selamat tiba di KLIA, air mata tangisi ketibaan

27 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini sebentar tadi. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Laungan ‘Allahuakhbar’ dan ‘Free, Free Palestin’ menyambut ketibaan 27 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini sebentar tadi.

Ketibaan mereka disambut dan diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan beberapa kenamaan lain selain waris dan ahli keluarga aktivis berkenaan.

Tangisan kegembiraan, air mata kesyukuran dan pelukan erat antara ahli keluarga serta rakan seperjuangan antara detik yang dapat dirakam lensa kamera.

Antara 27 sukarelawan terbabit ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah (kapal Hio); Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga) serta Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma).

Turut berada dalam misi itu ialah Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius); Razali Awang (kapal Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar dan Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

Turut kembali bersama ialah empat aktivis yang menaiki kapal pemerhati Summertime-Jong tidak akan memasuki Zon Merah dan selamat berlabuh pelabuhan Paphos, Cyprus iaitu Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman; Mazian, Serieffa dan Ariff Budiman.

Sebelum ini, seramai 23 aktivis Malaysia dibebaskan oleh rejim Israel pada 4 Oktober lalu selepas ditahan secara tidak sah apabila kapal yang membawa bantuan kemanusiaan serta ubat-ubatan ke Gaza dipintas di perairan antarabangsa pada 2 Oktober lalu.

Mereka kemudiannya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 4 Okt lepas menggunakan pesawat komersial Turkish Airlines yang diurus dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye.

Kejayaan membawa pulang semua aktivis Malaysia itu menggambarkan kecekapan diplomasi lintas sempadan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Proses pembebasan itu melibatkan koordinasi kukuh di peringkat antarabangsa termasuk perbincangan Menteri Luar dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dan kerajaan Jordan serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Utusan Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah Steve Witkoff.

Pada 2 Oktober lalu, kesemua 42 kapal yang menjalankan misi kemanusiaan ke Gaza itu dipintas zionis dengan 495 aktivis ditahan sebelum dibebaskan secara berperingkat bermula Sabtu lepas.

Kesemua sukarelawan itu dijangka bersama Perdana Menteri dan Jemaah Menteri menghadiri Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 8 malam, esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN