AKSM jadi pusat latihan utama pegawai syariah negara

AKSM jadi pusat latihan utama pegawai syariah negara

MOHD. Naim Mokhtar ketika melancarkan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM) bakal menjadi platform utama melahirkan barisan pegawai kehakiman syariah sekali gus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman Islam di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pelaksanaan AKSM itu mencerminkan usaha penuh kerajaan dalam memperkasa sistem kehakiman syariah di Malaysia.

Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM20 juta melalui Belanjawan 2024 bagi pembangunan dan pengoperasian institusi tersebut secara menyeluruh.

“Peruntukan ini bukan sekadar angka dalam belanjawan, tetapi menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menjadikan sistem perundangan Islam di Malaysia sebagai model serantau,” katanya ketika merasmikan akademi itu di sini, hari ini.

Katanya, AKSM bukan sekadar pusat latihan profesional tetapi juga sebagai platform memperkukuh budaya ilmu dan pembelajaran berterusan dalam kalangan warga kehakiman syariah.

“Matlamat akhirnya ialah untuk mencapai pengiktirafan antarabangsa sebagai pusat rujukan dan latihan kehakiman syariah yang diyakini dunia serta menjadi mercu tanda kebanggaan umat dan simbol keunggulan pentadbiran Islam.

“Kita mahu melahirkan pegawai yang bukan sahaja cekap menjalankan tugas, tetapi sentiasa berusaha menambah ilmu dan mempertingkatkan kemahiran,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, projek pembinaan kompleks kekal AKSM bakal dijalankan di Bandar Enstek, Nilai, bagi latihan jangka panjang bermula 15 November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN