PUTRAJAYA: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kini dalam fasa kedua pelaksanaan pengambilalihan baki pintu masuk antarabangsa yang masih aktif dan dijangka selesai menjelang Januari depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, fasa kedua itu sekali gus meluaskan penguasaan agensi kepada 125 pintu masuk di seluruh negara.
Katanya, sejak 1 Januari lalu, AKPS telah mengambil alih peranan enam agensi utama termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, MAQIS, Kementerian Kesihatan, PERHILITAN dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Ketika ini, dengan penambahan 1,053 pegawai Kastam pada awal Oktober ini, kekuatan anggota AKPS kini meningkat kepada 6,215 orang.
“Pertambahan ini membawa tanggungjawab besar kepada AKPS untuk memastikan setiap operasi pemeriksaan barangan di 22 pintu masuk antarabangsa berjalan lancar dan bebas daripada sebarang unsur ketirisan,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama AKPS di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, AKPS memfokuskan pembangunan teknologi sempadan pintar dan pengukuhan sumber manusia bagi memperkukuh keselamatan dan integriti di pintu masuk negara.
Katanya, dua fokus itu akan menjadi antara agenda utamanya selepas setahun menerajui agensi itu.
“Selepas melalui fasa penubuhan dan pengambilalihan fungsi daripada enam agensi teras, tumpuan AKPS kini beralih kepada pelaksanaan Pelan Strategik agensi serta pembangunan sistem sempadan pintar menggunakan teknologi biometrik, pengimbasan automatik kargo dan analitik berasaskan kecerdasan buatan (AI),” katanya. – UTUSAN