Ahli Parlimen disaran rasai rawatan di hospital kerajaan 

Ahli Parlimen disaran rasai rawatan di hospital kerajaan 

Hospital kerajaan perlu menambah baik perkhidmatan kerana ia menjadi pilihan utama orang ramai yang tidak mampu ke hospital swasta. - GAMBAR HIASAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua Ahli Parlimen dan anggota Kabinet disaran mendapatkan rawatan di hospital kerajaan seperti rakyat biasa bagi memahami cabaran sebenar dihadapi pesakit dan petugas kesihatan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, pengalaman mendapatkan rawatan di hospital kerajaan tanpa sebarang keistimewaan atau layanan khas akan memberi gambaran jelas kepada para pemimpin terhadap tekanan yang dihadapi sistem kesihatan negara ketika ini.

Katanya, pendekatan itu penting agar pembuat dasar benar-benar menyedari tekanan yang dihadapi sistem kesihatan awam yang menjadi kebergantungan majoriti rakyat Malaysia.

“Kami menggesa semua Ahli Parlimen dan Menteri Kabinet untuk merasai sendiri sistem penjagaan kesihatan awam seperti rakyat biasa tanpa keistimewaan, hubungan atau pengiring.

“Hanya dengan menghadapi barisan menunggu, kelewatan dan kekangan yang sama, mereka dapat memahami perjuangan yang dilalui pesakit dan petugas kesihatan setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Thirunavukarasu berkata, isu elaun atas panggilan doktor kerajaan perlu diberi perhatian segera dalam Belanjawan 2026 memandangkan kadar semasa RM9.16 sejam tidak pernah disemak lebih sedekad.

“Ini jauh lebih rendah daripada kadar wajar dan munasabah bagi menampung tempoh kerja panjang serta tanggungjawab berat doktor,” katanya.

Katanya, jumlah itu terlalu rendah berbanding tanggungjawab dan pengorbanan besar doktor yang berkhidmat setiap hari untuk rakyat.

Beliau berkata, hasil tinjauan dalam talian yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan 84 peratus daripada 571 responden bersetuju bahawa kadar RM25 sejam adalah lebih adil dan munasabah untuk dijadikan kadar baharu elaun tersebut.

Menurutnya, kesan kekurangan pembiayaan terhadap sistem kesihatan awam kini semakin ketara dengan masa menunggu yang panjang, pasukan perubatan yang kekurangan tenaga dan semangat petugas yang semakin merosot.

“Sekiranya keadaan ini tidak ditangani secara menyeluruh, negara berisiko berdepan keruntuhan sistem penjagaan kesihatan awam, sistem yang menjadi kebergantungan jutaan rakyat setiap hari,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui usaha berterusan Kementerian Kesihatan dalam menangani tekanan tersebut, namun menegaskan cabaran besar yang dihadapi memerlukan sokongan penuh Jemaah Menteri serta peruntukan bajet yang mencukupi.

“Tanpa peruntukan yang sewajarnya, sistem akan terus terbeban manakala semangat petugas barisan hadapan akan terus merosot,” katanya.

Thirunavukarasu berkata, pelarasan kadar elaun atas panggilan bukan satu tuntutan yang besar, sebaliknya langkah berimpak tinggi yang mampu memulihkan semangat doktor, mengekalkan bakat dalam sektor awam dan meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.

“Ia langkah kos rendah tetapi berimpak tinggi yang boleh membantu mengekalkan tenaga kerja dalam sektor awam serta memberi manfaat kepada pesakit.

“Selepas lebih sedekad tanpa tindakan, apa yang diperlukan kini ialah kepimpinan yang tegas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN