SEPANG: Kesemua 23 ahli keluarga membabitkan sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) kini ditempatkan secara bersama di sebuah hotel bagi memudahkan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) menyalurkan sebarang perkembangan secara terus kepada mereka.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kesemua ahli keluarga sukarelawan itu akan diberikan sokongan dari segi moral, pengisian rohani serta dijaga kebajikan mereka oleh sekretariat SNCC.
Menurutnya, beliau juga sempat meluangkan masa selama beberapa jam bertemu dengan kumpulan keluarga itu pada hari ini bagi menyampaikan maklumat terkini daripada SNCC.
“Saya ingin maklumkan seluruh keluarga sukarelawan berada dalam keadaan sihat dan juga baik. Kesemua 23 ahli keluarga sukarelawan ini kita kumpulkan kerana penting untuk mereka menerima maklumat awal daripada SNCC.
“Sebelum datang ke sini (SNCC), saya singgah ke sana dulu memaklumkan kepada pihak keluarga kerana mereka ini ada yang sudah terkesan apabila membaca pelbagai bentuk berita, kita faham bahawa ada berita yang sifatnya naratifnya bagus, ada juga posting (hantaran) yang tidak cukup masak yang menyebabkan mereka bertanya-tanya atau gusar,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan, SNCC mula menggerakkan sekretariat untuk mengadakan pertemuan secara tertutup dengan kesemua 23 ahli keluarga peserta GSF bagi menyampaikan perkembangan terkini berhubung sukarelawan yang telah ditahan oleh pihak tentera Israel.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga penaung utama misi kemanusiaan Sumud Nusantara telah memberi mandat kepada SNCC untuk menyokong serta memberi semangat kepada ahli keluarga sukarelawan yang terbabit.
“Perdana Menteri, Menteri Komunikasi dan Menteri Agama telah memberi mandat kepada SNCC untuk kita berikan sokongan seluas-luasnya termasuk sokongan semangat dan psikologi.
“Seperti saya sebutkan, ini adalah fasa 48 jam, jika kita dapat maklumat sebegini dan kita dapat tahu bila mereka akan mula dikeluarkan, saya kira keluarga ini akan mula (rasa) tenang dan kita akan cari jalan untuk bersama (dengan) mereka sampai lah kumpulan ini menjejakkan kaki ke tanah air,” ujarnya. – UTUSAN