PUTRAJAYA: Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa menyifatkan keputusan negaranya mengambil tindakan undang-undang terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berasaskan pendirian moral sama yang pernah menjadi asas perjuangan dunia menentang dasar apartheid.
Menurutnya, situasi di Gaza kini adalah satu pembunuhan beramai-ramai (genosid) yang sedang berlaku di depan mata dunia.
“Apabila kami melihat pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza, kami merasakan bahawa kami perlu bertindak sebagaimana dunia dahulu bertindak menentang apartheid,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Katanya, Afrika Selatan dan Malaysia berkongsi sejarah panjang dalam memperjuangkan keadilan, kebebasan dan maruah kemanusiaan terutama dalam menyuarakan solidariti terhadap rakyat Palestin yang dizalimi di Gaza.
Ramaphosa berkata, beliau menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan Malaysia terhadap pendirian tegas Afrika Selatan dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.
“Kami berterima kasih kepada Malaysia kerana mengiktiraf bahawa tindakan kami membawa isu Palestin ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa adalah langkah berani,” katanya.
Dalam pada itu, Ramaphosa berkata, pertemuan dua hala bersama Anwar turut membincangkan peranan Afrika Selatan sebagai sebahagian daripada Kesatuan Afrika (AU) dan Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC).
“Perbincangan itu menyentuh bagaimana ia boleh dipautkan dengan ASEAN bagi memperluas rangkaian kerjasama serantau.
“Dalam hal ini, kami ingin merakamkan penghargaan kepada Malaysia kerana menjemput Afrika Selatan untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN.
“Kami amat menghargai jemputan itu dan berasa gembira kerana, dalam semangat persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara, anda juga telah bersetuju untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 yang akan diadakan bulan depan di Johannesburg, Afrika Selatan,” katanya. – UTUSAN










