Aerotrain KLIA tergendala, MAHB arah siasatan teknikal menyeluruh

Aerotrain KLIA tergendala, MAHB arah siasatan teknikal menyeluruh

Kedua-dua koc Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sekali lagi mengalami gangguan perkhidmatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) memberi jaminan bahawa tiada penumpang terjejas susulan gangguan sementara perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 malam tadi.

Dalam kenyataannya hari ini, MAHB memaklumkan, gangguan berkenaan berlaku kira-kira pukul 8.30 malam dan langkah kecemasan segera diaktifkan termasuk penyediaan perkhidmatan bas pengantara bagi memastikan pergerakan penumpang antara terminal utama dan bangunan satelit tidak terganggu.

“Kami boleh mengesahkan bahawa tiada penumpang terlepas penerbangan semasa tempoh berkenaan, sekali gus membuktikan keberkesanan pelan kontingensi yang dilaksanakan,” katanya.

MAHB menjelaskan, salah satu tren berjaya dipulihkan dan kembali beroperasi pada pukul 9.27 malam hari yang sama, manakala kerja-kerja pemulihan tren kedua diteruskan sehingga operasi kembali normal.

Menurutnya, insiden itu berlaku dalam tempoh tanggungan kecacatan (defect liability period) sistem Aerotrain baharu yang dibangunkan oleh konsortium IJM-Pestech Joint Venture (IPJV) dengan kerjasama Alstom selaku penyedia sistem dan reka bentuk agihan kuasa.

Jelasnya, satu mesyuarat teknikal khas telah diadakan bersama pengurusan kanan kontraktor projek bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan.

“Kontraktor juga akan mengeluarkan kenyataan berasingan untuk menjelaskan aspek teknikal insiden ini,” katanya.

Dalam masa sama, MAHB memaklumkan beberapa langkah tambahan bagi menjamin keselamatan sistem telah dilaksanakan, termasuk imbasan termografik serta ujian diagnostik bagi memastikan integriti dan keselamatan keseluruhan rangkaian tren.

“Kami akan terus memantau kerja pembaikan yang dijalankan kontraktor bagi memastikan semua aspek keselamatan dan operasi dipatuhi,” katanya.

MAHB turut melahirkan kekecewaan terhadap kejadian itu memandangkan sistem Aerotrain telah melalui proses ujian, pentauliahan dan pensijilan ketat sebelum pelancarannya, melibatkan perunding bebas, pakar keselamatan serta pihak berkuasa pengawalseliaan.

Sehubungan itu, pihaknya akan melantik penilai bebas bagi menjalankan semakan menyeluruh terhadap reka bentuk sistem bekalan kuasa serta kualiti kerja pemasangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN