PETALING JAYA: Kontroversi membabitkan rumah tangga pelakon, Uqasha Senrose dan suami, Kamal Adli semakin panas apabila didakwa berlaku kesilapan pada sijil nikah.
Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, meragui status perkahwinanya kerana mendakwa tarikh nikahnya berbeza seperti dicatatkan pada sijil nikah.
“Aku dinikahkan dan diakad atas pengetahuan aku pada 5 November 2021 pada pukul 9 pagi.
“Tapi dalam sijil nikah, aku dinikahkan 4 November 2021 pada pukul 9.30 malam.
“Allahuakbar adakah sah perkahwinan ini? Cukupkah syarat sah perkahwinan,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Dalam pada itu, Uqasha turut mendakwa dirinya diperbodohkan kerana Kamal Adli dan keluarganya telah memanipulasi tarikh perkahwinan mereka.
“Selama ini aku diperbodohkan oleh seluruh keluarganya.
“Bapa aku juga dimanipulasi oleh si dia dan keluarga (Kamal) untuk kata sah, sebab sudah ada wali?,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Uqasha hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini ditemani peguam, Nurfarhana Abd. Manap bagi prosiding perceraian yang difailkan pada 1 Oktober lalu.
Jelas Nurfarhana, perceraian difailkan susulan tiada persefahaman.
Memandangkan Kamal Adli gagal menghadiri prosiding hari ini, mahkamah menetapkan prosiding ditangguhkan pada 28 Oktober ini. –UTUSAN