KUALA LUMPUR: Wujud kelompok tertentu dengan amalan lama tidak senang dengan transformasi yang sedang direncanakan kerajaan bagi menjamin kelangsungan, kelestarian dan peningkatan keupayaan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketiga-tiga perkara itu penting untuk meningkatkan martabat, harakat serta darjat Malaysia di mata dunia.
Beliau berkata, prasyarat penting dalam menjayakan kerangka transformasi itu adalah dengan memastikan tadbir urus dan tatakelola yang baik serta memperbaiki kelemahan dan kebobrokkan dalaman.
“Memberi contoh usaha penyasaran subsidi diesel, RON95, telur dan tarif elektrik yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini telah menjimatkan sehingga RM15.5 bilion dana awam.
“Penyasaran RON95 juga, kita juga dapat jimatkan RM2.5 hingga RM3 bilion setahun. Dulu kerajaan pernah beri subsidi ayam sebayak RM1 bilion, tapi kita mansuhkan sejak dua tahun lalu, kerana ia hanya menguntungkan kartel.
“Sekiranya negara mahu memacu pertumbuhan dan menetapkan satu kedudukan lebih baik, ia tidak mampu dengan mengekalkan kaedah atau dasar lama. Ada beberapa yang positif boleh diteruskan, tapi perubahan itu penting.
“Ini tidak mudah dilakukan, kerana kekuatan kelompok yang biasa dengan amalan lama yang menguntungkan mereka, peribadi, keluarga dan kroni, tentu tidak senang,” katanya menyampaikan ucaptama pada Forum Ilmu PNB 2025 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia perlu meneroka idea, hala tuju dan dasar baru serta mempelajari beberapa pendekatan masa depan daripada negara lain bagi meningkatkan keupayaan.
“Terdapat batas dan had tertentu dalam sistem sedia ada. Perkara ini perlu diambil dengan sangat serius. Apa jua ilmu atau pengalaman yang boleh kita pelajari, perlu dikongsi dengan masyarakat.
“Apabila kita bercakap tentang perubahan, asasnya adalah tadbir urus. Bagaimana kita mahu memahami dan melaksanakan transformasi sekiranya kita masih dibelenggu isu rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, usaha mendidik masyarakat melalui konsep Celik Madani masih perlu dipertingkatkan ketika semua berbicara tentang transformasi dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan rakyat memahami asas kepentingan pelaburan dan simpanan.
“Perbincangan mengenai AI dan digital tidak boleh dipisahkan daripada isu ketersambungan. Persoalannya, adakah akses digital yang menyeluruh dapat dijamin untuk kawasan bandar utama berbanding kawasan luar bandar dan kelompok miskin bandar yang mungkin masih ketinggalan dari segi kemudahan dan capaian internet,” katanya. – UTUSAN










