TELUK INTAN: Selepas didakwa atas 15 pertuduhan amang seksual fizikal dan memiliki gambar lucah di dua mahkamah di Pantai Timur bulan lalu, bekas mudir sebuah madrasah di Tumpat, Kelantan sekali lagi dituduh hari ini atas tiga pertuduhan kesalahan seksual.
Tertuduh, Mohamad Aswadi Yah, 46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang dikenali sebagai Abuya itu didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap pelajar lelaki berusia 15 tahun.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Behrang dalam daerah Muallim pada pukul 11.45 malam, 28 Ogos 2024 dan kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan
Tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak itu turut didakwa di atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal tanpa kerelaan mangsa di lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Pendakwaan ke atas tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b)Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri di balai polis setiap bulan. – UTUSAN










