Lapan rakyat Malaysia sertai gelombang ketiga bantuan ke Gaza

Lapan rakyat Malaysia sertai gelombang ketiga bantuan ke Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia menggerakkan gelombang ketiga bantuan kemanusiaan melalui jalan laut ke Gaza dengan melancarkan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang berlepas dari Itali, hari ini.

FFC yang menggabungkan badan bukan kerajaan (NGO) pelbagai negara termasuk Malaysia disertai seramai 94 individu melibatkan kru kapal, wartawan tempatan dan antarabangsa, pakar perubatan, Ahli Parlimen, aktivis dan ahli FFC sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, inisiatif FFC itu turut disertai oleh lapan rakyat Malaysia yang sudah pun berlepas dengan menaiki kapal Conscience untuk menuju ke Gaza hari ini.

Katanya, lapan orang rakyat Malaysia itu terdiri daripada doktor perubatan, pakar undang-undang antarabangsa, pengamal media dan aktivis telah berlepas menaiki kapal dari Pelabuhan Otronto, Itali menuju ke Gaza .

“Delegasi Malaysia yang diketuai oleh MyCare terdiri daripada tiga orang doktor perubatan, empat orang aktivis dan seorang pengamal media,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Delegasi Malaysia yang menyertai misi itu adalah Dr. Maziah Mohammad; Prof. Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd Ali; Dr. Fauziah Hassan; Dr. Hafiz Sulaiman; Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi; Syafik Shukri Abdul Jalil; Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh; Dr. Noorhasyimah Ismail dan Norsham Abu Bakar.

Sejak awal tahun ini, tiga kapal FFC telah dihalang oleh rejim Zionis daripada belayar ke Gaza termasuk kapal Conscience, Madleen dan Handala. 

Pada Mei lalu, kapal Conscience turut dibom dengan menggunakan dron berhampiran perairan Malta diikuti kapal Madleen dan Handala yang dipintas tentera rejim masing-masing pada bulan Jun dan Julai. 

Menurut FFC, misi itu turut melibatkan wartawan antarabangsa dan pakar perubatan sebagai tanda solidariti bersama wartawan media Palestin dan petugas perubatan yang terus melaporkan situasi di Gaza. 

FFC juga menyeru kerajaan, institusi dan masyarakat antarabangsa untuk menyokong usaha itu selain menuntut laluan selamat bagi kapal tersebut dan hentikan sekatan terhadap kemasukan makanan dan ubat-ubatan terus menghalang penduduk daripada memenuhi keperluan paling mendesak.

“Kami memohon rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan sepenuhnya dan membuat sebaran pelayaran ini. Gaza sedang memerlukan pakar perubatan dan wartawan untuk menunjukkan keadaan sebenar di sana,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN