PUTRAJAYA: Sebanyak 72 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor diberikan kebenaran melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada 27 dan 28 Oktober ini bersempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 nanti.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tempoh berkenaan bukan bermaksud sekolah ditutup, sebaliknya pembelajaran tetap berlangsung secara dalam talian.
“Untuk ASEAN, kita tak boleh tutup (sekolah) tapi, sesi pembelajaran secara dalam talian yang akan dilaksanakan.
“Setakat ini, ia melibatkan murid dan guru di 72 buah sekolah. Jadi, pembelajaran akan berlangsung dalam proses PdPR seperti biasa,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Town Hall ‘Generasi Tanpa Buli’ bersama-sama wakil murid di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sini hari ini.
Sebelum ini, KPM turut membenarkan sebanyak 71 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor melaksanakan PdPR pada 26 hingga 28 Mei lalu bersempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.
Persidangan kemuncak ASEAN bakal bermula pada 26 Oktober ini dan dijangka menjadi perhimpunan pemimpin dunia dan berprofil tinggi terbesar setakat ini, dengan kehadiran kuasa besar dunia yang berpengaruh.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina memaklumkan, beliau akan menjawab isu berbangkit susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 Siri 3, yang dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.
“Mengenai laporan itu, esok saya akan jawab di Parlimen sebagai respon awal kerana ruang esok adalah ruang untuk setiap menteri menjawab isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan tersebut.
LKAN mendedahkan KPM merekodkan jumlah tertinggi projek kritikal tertangguh di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melibatkan 46 daripada 157 projek tertangguh di bawah 18 kementerian sehingga 31 Dis 2024. – UTUSAN