PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan sumbangan khas sebanyak RM500 kepada seramai 70,000 penerima terdiri daripada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut di seluruh negara.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian itu sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap jasa dan sumbangan golongan agamawan dalam memperkukuh pendidikan Islam serta memakmurkan institusi masjid dan surau di peringkat akar umbi.
“Kerajaan bersetuju menyalurkan sumbangan khas RM500 kepada mereka dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM35 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan Madani dalam memastikan kebajikan para pendidik agama dan petugas masjid terus terbela, seiring peranan penting mereka dalam membentuk masyarakat berakhlak dan harmoni. – UTUSAN










