53,900 pemandu e-hailing layak dapat BUDI95 600 liter sebulan

53,900 pemandu e-hailing layak dapat BUDI95 600 liter sebulan

53,900 pemandu e-hailing layak dapat BUDI95 600 liter sebulan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Siling penggunaan subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-hailing sepenuh masa telah dinaikkan sekali ganda kepada 600 liter sebulan.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menyemak silang data bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), melibatkan lebih 53,900 individu yang akan menerima kenaikan siling kelayakan itu.

Selain itu, katanya, lebih 11,400 lagi pemegang lesen memandu kini layak menerima BUDI95 iaitu pemandu yang baru mendapat lesen (11,200) dan pemandu yang telah memperbaharui lesen (260), menjadikan lebih 16 juta rakyat Malaysia menerima manfaat BUDI95.

“BUDI95 turutdiperluaskan kepada lebih 1,400 pengguna bot persendirian berdaftar di Sarawak.

“Jumlah itu berdasarkan data yang diperoleh daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan agensi Kerajaan Negeri yang berkaitan,” katanya hari ini.

Sebelum ini, kelayakan BUDI95 diperluaskan kepada pengguna bot di Sabah dan mereka yang berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) minggu lalu.

MOF berkata, kerajaan kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau melalui WhatsApp di +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut.

Portal ini turut dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN