Seramai 50 remaja asnaf memanfaatkan cuti persekolahan dengan mengikuti Program Remaja Dinamik anjuran Pertubuhan Kasih Kita Negeri Perak yang menekankan aspek jati diri dan pembangunan sahsiah serta sosial.
Pengerusinya, Rosdziah Mohd. Zainuddin berkata, program bertemakan ‘Mencipta Transformasi Diri Ke Arah Kecemerlangan’ itu turut memberi pendedahan mengenai isu buli dan membentuk peserta agar lebih berdaya saing dan cemerlang dalam pelajaran.
Malah katanya, peserta turut diberi gambaran awal mengenai cabaran dan realiti dunia kerjaya yang bakal menanti mereka pada masa depan.
“Kesedaran mengenai isu sosial khususnya buli merupakan perkara yang paling banyak diulas oleh fasilitator memandang kini banyak kes buli berlaku hingga menyebabkan kematian.
“Jadi, selain mencungkil potensi dan membina jati diri serta menyuburkan akhlak, kita mahu memberi kesedaran awal kepada peserta dalam usaha membendung masalah buli,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan program di Tingkap Valley baru-baru ini.
Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran sulung Program Remaja Dinamik yang bermula Rabu lalu, Rosdziah berkata, ia disertai peserta berusia 12 hingga 17 tahun.
Katanya, program yang mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu bukan sahaja melibatkan pelajar dalam Parlimen Tambun malah turut menarik penyertaan dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Alhamdulillah, melihat kepada penerimaan peserta yang menyambut baik setiap aktiviti yang diadakan, saya berharap program ini akan diperluaskan bukan sahaja kepada peserta di seluruh Perak malah ke seluruh negara,” katanya. – UTUSAN