PUTRAJAYA: Empat sekolah yang terjejas akibat ribut yang berlaku di Teluk Panglima Garang, Selangor semalam akan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam tempoh terdekat.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, ini bagi membolehkan proses pembelajaran dapat diteruskan serta memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
KPM berkata, pada waktu ini kerja pembersihan dan penilaian kerosakan sedang berjalan di semua sekolah terjejas.
“KPM memastikan kerja baik pulih akan segera dilaksanakan,” katanya hari ini.
Semalam, empat buah sekolah yang terjejas akibat bencana itu ialah SMK Sijangkang Jaya, SK Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan dan SK Jalan Tanjung ini.
KPM menyeru jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan pentadbir sekolah di seluruh negara untuk meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi cuaca tidak menentu pada ketika ini.
Ini bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan seluruh warga pendidikan terpelihara. – UTUSAN