SEREMBAN: Seramai 33 orang bekas ahli Global Ikhwan Sdn. Bhd. Holdings (GISBH) di Negeri Sembilan akan menjalani program rehabilitasi berkaitan akidah selama enam bulan bermula 11 Oktober depan.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd. Asri Abdullah berkata, program yang berlangsung setiap Sabtu dan Ahad itu melibatkan 33 orang ketua atau wakil keluarga yang telah mendaftar dan dijangka akan berakhir pada Mac tahun depan.
“Mereka akan menghadiri kelas-kelas pengajian yang menyentuh aspek akidah dan ibadah supaya setiap amalan adalah selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Program ini akan melalui empat fasa iaitu induksi, pemulihan, pemantapan dan khidmat sokongan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, satu sesi taklimat Program Santuni Kasih Madani 2025 telah dilaksanakan pada Sabtu lalu bagi menyantuni 169 bekas ahli melibatkan 69 orang dewasa berumur 18 tahun ke atas dan 79 orang kanak-kanak dan remaja berumur antara empat hingga 17 tahun.
Jelas Mohd. Asri, bagi menjayakan pelaksanaan program rehabilitasi itu, JHEAINS bekerjasama dengan beberapa jabatan dan agensi.-UTUSAN









