3,000 ekar kawasan baharu ternakan kerang di Bagan Datuk

3,000 ekar kawasan baharu ternakan kerang di Bagan Datuk

Mohd Zolkafly Harun (tengah)melepaskan benih ketam ke Sungai di Jeti Sungai Kerang, Perak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Sebanyak 3,000 ekar tanah di Bagan Datuk dikenal pasti sebagai kawasan baharu ternakan kerang bagi memperkukuh sektor akuakultur di Perak menjelang 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, langkah itu penting bagi memastikan Perak kekal sebagai antara pengeluar utama hasil laut negara.

Menurutnya, beberapa kawasan lain seperti Larut, Matang dan Selama, Kerian dan sepanjang pantai barat Perak turut dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan ternakan kerang.

Katanya, Perak mencatatkan lebih 14,000 tan metrik hasil kerang pada 2023, menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya dan menggambarkan potensi besar industri itu.

“Kita yakin peluasan kawasan ternakan ini akan menambah hasil pengeluaran serta memberi manfaat langsung kepada nelayan tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Kerang di sini, hari ini.

Mohd. Zolkafly berkata, kerajaan negeri mengambil maklum aduan pengusaha kerang di Matang berhubung kelewatan kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dilihat menimbulkan pelbagai masalah dalam kalangan pengusaha.

Menurutnya, kelewatan kelulusan itu turut menyebabkan pergaduhan dan kecurian hasil kerang dengan kerugian dianggarkan mencecah hampir RM500,000 sebulan.

Tambahnya, kerajaan negeri telah mengarahkan pentadbir tanah daerah memperincikan senarai pengusaha tulen agar hanya mereka yang benar-benar aktif diberi keutamaan untuk menerima TOL.

“Kita mahu pastikan pengusaha yang sah tidak terpinggir dan dapat menjalankan aktiviti mereka tanpa gangguan pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN