PONTIAN: Kira-kira 230,000 penduduk Pontian menzahirkan rasa teruja dan lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan untuk melaksanakan projek pembesaran Hospital Pontian dalam pembentangan Belanjawan 2026, Jumaat lalu.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, berkata pengumuman itu menjadi tanda harapan baharu kepada penduduk yang sudah lama menantikan kemudahan kesihatan lebih lengkap dan moden.
“Projek ini tersenarai antara yang utama dalam Belanjawan 2026 bersama Hospital Banting dan Hospital Sungai Buloh. Hospital Pontian yang sudah berusia lebih 100 tahun amat memerlukan bangunan tambahan bagi menambah jumlah katil serta menyediakan lebih banyak perkhidmatan kepakaran,” katanya selepas merasmikan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Tarian Zapin Peringkat Daerah Pontian di Dataran Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), malam tadi.
Turut hadir, Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal, dan ADUN Pemanis, Anuar Abd. Manap, yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Johor.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, blok tambahan baharu itu akan melibatkan tiga bangunan utama termasuk kuarters kakitangan, blok pesakit dan blok khas perubatan.
“Kerja awal sudah dilaksanakan dan kini menunggu reka bentuk akhir sebelum tawaran tender dibuka. Saya berharap pembinaan dapat dimulakan tahun depan,” katanya.
Beliau turut berharap penambahan 150 katil baharu seperti perancangan asal dapat dikekalkan memandangkan wad sedia ada sering sesak.
“Dengan kemudahan baharu ini, diharapkan lebih ramai doktor pakar ditempatkan di Hospital Pontian tanpa perlu rujukan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) atau Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru,” katanya. – UTUSAN










